SELAGI Syawal masih belum melabuhkan tirai, sehingga itulah semangat untuk berhari raya tetap tidak luntur. Sama juga dengan selebriti yang kini sedang meningkat naik, Nabil Aqil.

Bermula sebagai model, sayapnya kini semakin luas apabila dilamar membintangi beberapa buah drama seperti Mr Grey, The Maid, Cik Ayu Mee Sanggul, The Hotel dan The Hotel 2: Jiwa Yang Kau Puja.

Berdasarkan portfolio, kerjaya lakonan Nabil semakin menyerlah selepas menyertai pertandingan Hero Remaja tahun 2017. Sejak itu, tanpa membuang masa, beliau terus menyusun langkah bagi mengukuhkan kedudukan dalam industri seni tempatan.

Influencer yang masih lagi dalam mood raya itu berkata, saat keemasan ini sememangnya tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Peluang menghabiskan masa dengan keluarga dan sanak saudara lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama jauh pada mata akan digunakan sebaik-baiknya.

Selain berlakon, Nabil Aqil turut memiliki kemahiran memasak.

“Setiap kali raya ‘benda‘ yang paling seronok apabila dapat makan dan berbual bersama. Mungkin kadangkala kita melihat ia satu perkara sama, tetapi semangat Aidilfitri itu sendiri menimbulkan perasaan yang luar biasa.

“Pada saya setiap kali hari raya, semuanya memang seronok dan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Setiap kali raya pasti ada saja kawan-kawan yang sikapnya ‘gila-gila‘ seperti suka habiskan makanan di rumah orang dan buat kelakar dalam banyak lagi hal. Ah! Memang mengujakan,“ ujarnya ketika ditemui sesi fotografi eksklusif bersama beliau di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Berkongsi tentang hidangan Syawal yang menambat seleranya setiap tahun, Nabil menggemari daging masak kicap, ayam rendang dan sate, selain ketupat, lemang termasuk nasi impit.

“Memang semua makanan itu ada sahaja walupun bulan biasa, tetapi seperti yang dikatakan tadi, hari raya memang berbeza. Bila makan sahaja, ia seperti ada ‘kuasa‘ luar biasa dan tarikan tersendiri,“ selorohnya.

Sisi dewasa

Habis bersenda gurau tentang keseronokan berhari raya, perbualan kami kemudian terarah kepada kerjaya yang sedang direntas. Mengakui kehadirannya masih baharu, Nabil atau nama lengkapnya Muhammad Nabil Aqil Mohd Salehuddin sedar masih banyak hal yang perlu dipelajari.

Berkali-kali beliau melafazkan rasa syukur apabila rezeki menjadi pelakon terbentang luas sebaik sahaja Hero Remaja 2017 menutup tirai.

Kalau dicongak, usia Nabil baru sahaja mencecah 24 tahun. Sedikit sebanyak ia telah mengehadkan percaturannya untuk memainkan pelbagai watak terutama karakter lelaki matang.

“Namun, hakikatnya, saya seorang yang aktif dan bertenaga. Maksudnya saya gemar melakonkan watak yang memerlukan banyak tenaga digunakan seperti ekspresi wajah dan pergerakan.

“Orang kata masa tengah darah muda inilah semuanya akan dilakukan dengan penuh semangat. Namun, itu tidak bermaksud saya memilih atau cerewet dalam watak. Sebagai pelakon yang baru menapak, banyak yang saya perlu lalui dan tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kedudukan sekarang,“ jelas anak kelahiran Ipoh, Perak itu tentang momentum profilnya sebagai anak seni.

Pun demikian, Nabil berpendapat, tiada salahnya jika anak muda diberi kesempatan dan kepercayaan untuk menggalas watak matang atau dewasa. Bukankah sebagai pelakon, segala cabaran yang diberikan sudah menjadi tanggungjawab, soalnya.

“Imej yang dibawa harus selari dengan karakter. Mungkin untuk nampak lebih macho saya akan ubah sedikit gaya seperti misai atau jambang. Cara bercakap, berjalan dan pembawaan diri juga boleh ‘diubah suai‘ agar dapat memenuhi tuntutan pengarah dalam menjayakan sesebuah naskhah,“ terang anak muda berketinggian 185 sentimeter itu.

Namun, cakap-cakap nakal mengatakan, kelebihan berwajah tampan dan berkulit mulus, mungkin secara mata kasarnya membuatkan Nabil hanya serasi membawakan watak sebagai anak tauke ‘Megah Holding‘. Namun, pada dasarnya, ia tidak benar, tegas anak kelahiran Perak itu.

Enggan terus terpuruk dengan lingkaran sama, tuan punya diri berkata: “Saya harap pihak di luar sana beri saya ruang dan peluang agar saya dapat mempamerkan kualiti lakonan yang sebenar.“

Medan sasaran

Nabil Aqil mengharapkan agar diberi peluang untuk membawakan watak lelaki matang meskipun tidak setanding dengan usianya.

Seiring dengan butir bicara yang diutarakan, Nabil mengatakan dirinya sudah biasa hidup berdikari sendiri sejak menamatkan zaman sekolah.

Ini bermakna, dalam lingkungan usia 18 tahun lagi, beliau sudah mampu mencari wang sendiri untuk menyara hidup. Tidak hanya sebagai model, malah kelebihannya menjadi influencer turut menuai hasil.

“Saya memang sudah terbiasa menguruskan diri sendiri seperti melakukan kerja-kerja rumah dan memasak. Saya juga akan mengemas rumah dan memastikan sentiasa bersih dan kemas.

“Mustahil untuk kita hidup dalam persekitaran yang kotor kerana bimbang akan mengundang banyak penyakit lain yang boleh menjejaskan kesihatan. Mungkin orang tidak tahu, tetapi saya boleh masak menu seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan sayur pak choy,“ ungkap beliau yang sempat bergurau dengan menyatakan rugi jika seorang gadis menolak dirinya untuk menjadi pasangan.

Iklan

Bersembang soal kekasih pula, Nabil mengakui, hubungan percintaan yang terputus kira-kira lima tahun lalu masih belum ada pengganti.

“Sesekali memang rasa sunyi apabila bersendirian di rumah. Saya atasinya dengan menjemput rakan-rakan bertandang untuk makan bersama. Jika tidak, saya bekerja sahaja,“ tuturnya.

Sekiranya berkelapangan atau tiada ke mana-mana, anak muda berkenaan lebih senang duduk di rumah sambil menonton Netflix dan memasak sendiri makanan kegemarannya.
Katanya, kesepian yang menjengah dalam sanubari, tidak bermakna sudah sampai tahap ingin berumah tangga.

Bukan apa, beliau mahu memberi ruang kepada diri sendiri untuk menyusun kehidupan terlebih dahulu sebelum bersedia ke fasa berikutnya.

Justeru, selebriti kacak itu telah meletakkan impian untuk terus berkecimpung dalam industri seni tanah air hingga umurnya mencecah lebih 40 tahun.

Nabil Aqil mengharapkan kerjaya seninya sebagai pelakon mampu bertahan lama.

Bercerita tentang tangga usia itu,Nabil mengalih cerita. Ujarnya, mencecah pada umur berkenaan, biasanya sebilangan anak seni tempatan berdepan dengan kesukaran untuk menjadi teraju utama sesebuah karya.

“Berbeza di Korea Selatan, mereka masih memegang watak hero atau heroin meskipun sudah berumur. Rata-ratanya penampilan luaran mereka terlihat muda daripada usia sebenar.

“Dalam hal ini, mungkin teknologi kosmetik banyak memainkan peranan. Dari satu sudut, permintaan terhadap khidmat lakonan mereka tetap ada dan itu satu perkara yang boleh dipuji. Saya sangat berharap perkara yang sama berlaku di negara kita,“ katanya.

Iklan

Hanya membariskan beberapa nama, aktor popular Korea seperti Gong Yoo, Lee Dong-wook dan Ji Sung antara yang masih ligat dan mendapat permintaan tinggi menjadi pelakon utama dalam sesebuah filem, mahupun drama rantaian. Mereka turut dibayar dengan jumlah yang lumayan.

Tidak hanya soal lakonan, Nabil mengharapkan suatu masa nanti dirinya turut terlibat dalam cabang perniagaan. Bukan menafikan rezeki dalam dunia seni, namun beliau inginkan sumber pendapatan yang lebih stabil pada masa akan datang.

“Biarpun belum ada sebarang perancangan, saya berdoa agar perkara yang direncana menjadi kenyataan.

“Saya perlukan dorongan, sokongan dan mentor untuk menjayakan usaha ini. Perkara itu tidak difikirkan secara serius, tetapi tidak salah untuk mengaturnya terlebih dahulu,“ jelasnya seraya tersenyum.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI