Perspektif cantik Aanvi Kher. Hati kena bersih, niat yang baik, jadi contoh kepada semua orang

FIGURA anak muda yang merangkul gelaran Miss Globe 2023 di pertandingan ratu cantik antarabangsa pada November tahun lalu sudah pasti menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Kemenangan tersebut menyaksikan Manvin Khera berjaya memikat hati juri sekali gus mengalahkan 52 delegasi dunia lain.

Apa yang lebih membanggakan, Miss Globe pertama Malaysia berusia 23 tahun itu turut dimahkotakan sebagai Miss Talent dalam pertandingan yang berlangsung di Durres, Albania itu.


Kejayaannya mengharumkan nama negara mencuri perhatian penulis untuk mengundangnya sebagai Personaliti pilihan SinarPlus kali ini.

Meskipun sibuk dengan jadual harian, beliau yang menggunakan nama komersial Aanvi Kher menyambut baik pelawaan kami untuk berkunjung ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tidak mahu masa berharga terbuang begitu sahaja, saat dioles rapi oleh jurumekap, kami terus memulakan bicara. Perbualan dimulakan dengan mengimbas kenangan manis beliau menceburi bidang peragaan.

Kata personaliti tinggi lampai tersebut, tidak pernah dirinya berangan untuk menjadi seorang model. Apa lagi bergelar ratu cantik sementelah dirinya tidak tahu menahu tentang pertandingan tersebut.

Pun begitu, segalanya bermula apabila beliau mengikuti rakannya menghadiri satu acara pertunjukan fesyen.

“Saya dipelawa untuk menjadi model selepas potensi diri dilihat oleh seorang guru catwalk, Nizam Jalil pada acara tersebut.

“Pada awalnya teragak-agak juga mahu mencuba, tetapi dengan keyakinan dan sokongan daripada keluarga, saya memberanikan diri,” ujarnya yang mesra disapa Aanvi.

Baca juga: Siti Nordiana selesa hidup solo, fokus anak & kerjaya. ‘Layan macam kawan, Rayyan selalu tenangkan saya.’

Iklan
Iklan

Mahu kibar Jalur Gemilang

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang membesar di Kuala Lumpur itu juga semakin bersemangat apabila diberitahu bahawa seorang ratu cantik berpeluang untuk mewakili negara.

“Ia yang merupakan perkara yang saya sangat mahu lakukan.

“Menceburi suatu bidang yang membolehkan saya mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia adalah cita-cita saya,” kongsinya.

Impian yang terkubur semasa di bangku sekolah kerana gagal mewakili negara dalam bidang sukan kembali subur semula.

Untuk rekod, wanita bertubuh langsing itu pertama kali menyertai pertandingan ratu cantik anjuran Ratu Wanita Malaya pada tahun 2022.

Pun demikian, ia bukan suatu perjalanan yang mudah, Aanvi perlu mengikuti banyak latihan.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah dirinya apabila terpilih sebagai juara dan susulan kemenangan tersebut, beliau dipilih mewakili negara ke Pertandingan Miss Globe.

Selain catwalk dan cara mendandan diri, Aanvi turut mempersiapkan diri dengan teknik berkomunikasi dan pengucapan awam.

Antara aspek yang dinilai adalah hantaran di media sosial dan peranan serta sumbangan peserta kepada masyarakat.

“Semua peserta tidak kurang hebatnya, namun saya sangat bersyukur apabila terpilih sebagai juara.

“Pengorbanan menangguhkan pelajaran selama setahun untuk memberi fokus kepada persiapan pertandingan itu berbaloi apabila disarungkan mahkota Miss Globe 2023,” tutur model berketurunan Punjabi tersebut.

Penulis kemudian tertarik untuk mengetahui makna ratu cantik kepada empunya diri. Kata Aanvi, sebagai seorang ikon, peranannya menjangkau soal kecantikan.

“Hati kena bersih, mesti ada niat yang baik dan perlu menjadi contoh dan inspirasi kepada semua orang,” ujarnya yang turut berbangga apabila menjadi duta beberapa produk berjenama tempatan dan antarabangsa.

Tambah pelajar jurusan undang-undang di Brickfields Asia Collage itu, seseorang juga perlu mempunyai tekad yang jitu dan tidak cepat mengalah sekiranya diuji dengan kegagalan.

Tanpa berselindung, Aanvi berkongsi pengalaman mengalami tekanan melampau kerana tidak memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga.

“Akibat terlalu stres kerana hanya mendapat 6A, saya bertindak di luar kawalan sehingga memudaratkan diri. Namun, melalui peristiwa tersebut, saya sedar bahawa setiap yang berlaku pasti ada sebabnya dan kita perlu belajar daripada kesilapan.

“Di sini saya mahu kongsikan bahawa, kita mungkin tidak akan dapat apa yang kita mahu tetapi jangan sesekali berputus asa. Apabila kita bangkit dari kegagalan, suatu hari nanti, kejayaan pasti akan dikecapi,” katanya penuh bersemangat.

Aanvi yang fasih berbahasa Melayu turut memberitahu, satu lagi ujian besar yang memberi kesan besar dalam hidupnya adalah adalah ketika penularan wabak Covid-19 beberapa tahun lalu.

Kesan daripada Perintah Larangan Pergerakan (PKP), bapanya yang menjadi tunggak keluarga telah kehilangan pekerjaan.

Susulan itu, pada usia baharu 19 tahun, beliau terpaksa tinggal bersendirian dan perlu mencari wang sendiri.

Baca juga: ‘Saya percaya ALLAH SWT akan berikan juga kemenangan kepada Palestin.’ Doa Siti Nurhaliza untuk Bumi Anbia

Kata Aanvi, daripada pengalaman tersebut, dirinya belajar berdikari.

“Ia bukan suatu yang mudah dan saya sering menangis, namun kehidupan mengajar untuk tidak mengenal erti lelah,” tuturnya sambil tersenyum bangga.

 

Kesedaran pemanasan global

Kami meninggalkan persoalan itu dan beralih pula kepada aktiviti masa senggangnya.

Rupa-rupanya si cantik manis itu tidak reti duduk diam. Beliau memulakan pagi dengan meminum jus saderi yang baik untuk kulit.

Tutur gadis berketinggian 173 sentimeter itu, aktiviti riadah seperti memanah dan mendaki gunung adalah kegemarannya.

“Sudah beberapa gunung berjaya saya tawan dan berhasrat untuk menawan Gunung Kinabalu pula.

“Jika tidak sibuk dengan aktiviti peragaan, saya suka menyanyi dan menari,” katanya yang berkebolehan memanah sambil menunggang kuda.

Dalam pada itu, Aanvi juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Trash Hero yang menjalankan aktiviti pembersihan di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu.

Program yang dianjurkan memberi kesedaran tentang kepentingan pengurusan sampah dan mengajak masyarakat mengurangkan penggunaan plastik.

“Pemanasan global adalah fenomena yang sedang berlaku dan ia secara tidak langsung berpunca daripada aktiviti manusia.

“Oleh yang demikian, setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas bumi yang menjadi tempat tinggal kita dengan menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya penuh prihatin.

Baca juga: ‘Tiada istilah isteri lebih dominan.’ Pilih suami jadi pengurus, Bella Zahir semakin matang kendali emosi

Pada setiap bulan pula, beliau bersama orang tuanya akan meluangkan masa menghulurkan sumbangan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu negara.

“Sebenarnya, ibu bapa saya sudah mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan itu sejak PKP lalu.

“Mereka berdua selalu berpesan setiap kebaikan yang kita lakukan akan diberi ganjaran setimpal,” katanya yang bersemangat mahu meneruskan usaha menyumbang dalam aspek sekuriti makanan.

Tidak lengkap perbualan kami jika tidak diajukan berkenaan dengan perancangan masa depannya. Ternyata, anak sulung daripada tiga adik-beradik tersebut sudah membuat persiapan.

Aanvi kini sedang menghabiskan pembelajarannya dalam bidang undang-undang dan berimpian untuk bergelar seorang peguam dalam masa tiga tahun.

“Saya juga berharap suatu hari nanti akan memiliki perniagaan sendiri dalam bidang fesyen.

“Saya mahu mengetengahkan pakaian tradisional masyarakat Punjabi bukan sahaja di Malaysia malah di persada antarabangsa,” katanya yang mengemari fesyen yang ringkas.

Selain itu, dirinya turut dilamar untuk melakonkan watak aksi dalam sebuah filem berjudul Strike terbitan Katana Films Malaysia yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Melihat kepetahannya bertutur, penulis bertanya sama ada beliau berminat menceburi bidang pengacaraan dan ini jawapan si cantik manis tersebut.

“Saya suka belajar dan mencuba sesuatu yang baru namun buat masa sekarang belum menerima sebarang tawaran pengacaraan,” katanya yang mengidolakan aktres kelahiran Malaysia yang mencipta nama di persada Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh.

Terlanjur bercakap soal pelajaran, penulis meminta beliau menitipkan pesan kepada golongan muda yang seakan sudah tidak minat untuk belajar.

“Pelajaran dan kemahiran adalah penting tidak kira apa juga bidang yang mahu diceburi.

“Dalam hal ini, ibu bapa patut memantau anak-anak mereka supaya sentiasa fokus dan tidak tercicir dalam pendidikan,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Share
nurul.shahamah

Recent Posts

‘Daripada sendirian, kini telah berdua.’ Muat naik video majlis perkahwinan, ramai teka Raja Azura nikah?

PELAKON dan pengacara terkenal, Raja Azura memuat naik hantaran video yang memaparkan dirinya dalam satu…

21 hours ago

Pemandu Bezza merah remuk teruk terselamat tragedi pokok tumbang, ucapan syahadah buat ramai sebak, rupanya amal selawat 1,000 kali sehari

INSIDEN pokok tumbang di ibu negara Selasa lalu yang melibatkan 17 kenderaan menggemparkan tanah air.…

22 hours ago

Terima kepingan emas sebagai mas kahwin, Mahalini sah milik Rizky Febian dengan sekali lafaz

PENYANYI popular Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan dalam upacara…

2 days ago

“Mana royalti album Rockology kami yang mereka jual?” Amy terkilan Din, Kid belakangkan Search

  VOKALIS kumpulan Search, Datuk Amy kesal dengan tindakan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid…

2 days ago

‘Al-Quran terapi terbaik buat Zuhayr’. Ibu ini buktikan anak spastic diplegic cerebral palsy lancar bercakap, berjalan sendiri

BERPAKSIKAN dengan kekuasaan ALLAH dan al-Quran sebagai penyembuh paling mustajab, Nornailah Mohd Fadli terus cekalkan…

2 days ago

‘Janji tidak akan buat mummy sedih’. Sayunya, ucapan Hari Ibu Ayden buat Bella Astillah menitiskan air mata

PELAKON dan penyanyi Bella Astillah tidak dapat menahan perasaan sayu mendengar ucapan dari anak lelakinya,…

2 days ago