Pempengaruh kongsi pengalaman masuk ‘penjara orang gemuk’, berat turun empat kilogram dalam dua minggu

A
A
A

BERAT badan makin bertambah walaupun sudah cuba diet dan senaman berulang kali? Ramai sanggup berhabis wang, berlapar malah memaksa diri demi melihat angka di penimbang turun.

Namun di China, wujud satu pendekatan yang jauh lebih ekstrem yang mana peserta ‘dikurung’ seperti banduan, semata-mata untuk memastikan berat badan susut tanpa alasan dan kompromi.

Dikenali sebagai ‘penjara orang gemuk’, kem tahanan tertutup ini ditawarkan khas kepada golongan obes yang benar-benar serius mahu menurunkan berat badan dalam tempoh singkat.

Program tersebut menjanjikan hasil pantas dengan menekankan disiplin tinggi menerusi rutin senaman intensif, penimbangan berat badan wajib serta peraturan ketat yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh penginapan.

Konsep luar biasa itu mula menarik perhatian ramai selepas pengalaman seorang wanita warga Australia tular di media sosial.

Melalui akaun Instagram miliknya, @eggeats, pempengaruh berusia 28 tahun itu mendokumentasikan perjalanan menguruskan badan sejak awal Disember lalu, termasuk aktiviti harian yang menguji ketahanan fizikal dan mental.

Menurutnya, kos untuk menyertai program berkenaan adalah kurang daripada AS$1,000 (sekitar RM4,054), menjadikannya pilihan yang agak berpatutan berbanding pakej penurunan berat badan eksklusif lain.

Menerusi perkongsian video, kelihatan peserta menjalani pelbagai aktiviti fizikal secara berjadual, daripada senaman kardio hingga latihan kekuatan, semuanya dipantau bagi memastikan disiplin tidak tergelincir.

No Image Caption

Penjara orang 'gemuk'

Menariknya, program ini turut menerima peserta dari seluruh dunia tanpa mewajibkan penguasaan bahasa Mandarin atau Kantonis.

Peserta boleh memilih untuk mengikuti program singkat selama dua minggu, namun tempoh 28 hari lebih digalakkan bagi mendapatkan hasil yang lebih konsisten dan berpanjangan.

Wanita tersebut mendakwa perubahan ketara dapat dilihat dalam masa singkat. Dia kehilangan kira-kira 2.25 kilogram dalam tempoh tujuh hari pertama dan berjaya menurunkan sehingga empat kilogram menjelang hari ke-14.

No Image Caption

Walaupun pendekatan ‘seperti penjara’ itu kedengaran ekstrem, ia membuka perbincangan tentang sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi kesihatan dan keyakinan diri.

Dalam dunia yang dipenuhi pelbagai jalan pintas untuk kurus, ‘penjara orang gemuk’ ini menjadi bukti bahawa disiplin ketat dan komitmen penuh masih menjadi kunci utama iaitu sama ada seseorang sanggup ‘mengurung’ diri atau tidak, pilihan tetap di tangan sendiri.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang