PELIK tetapi benar, pertama kali dalam sejarah perubatan seorang doktor di Amerika Syarikat berjaya melakukan pemindahan jantung babi kepada pesakitnya.

Menurut laporan ABC News, Hospital Maryland dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan pesakit berkenaan sihat dan stabil tiga hari selepas pembedahan eksperimen itu.

Bagaimanapun, masih erlalu awal untuk mengetahui sama ada pembedahan itu berjaya atau tidak.

Bagaimanapun, ia menandakan satu langkah dalam usaha menggunakan organ haiwan untuk pemindahan menyelamatkan nyawa selama beberapa dekad.

Doktor di Pusat Perubatan Universiti Maryland berkata pemindahan itu menunjukkan bahawa jantung daripada haiwan yang diubah suai secara genetik boleh berfungsi dalam tubuh manusia tanpa penolakan serta-merta.

ALAMI MASALAH DEGUPAN TIDAK TERATUR

Pesakit, David Bennett, seorang pekerja am di Maryland berusia 57 tahun. Anaknya, David Bennet Jr memberitahu The Associated Press, bapanya mengetahui tentang risiko tinggi pembedahan itu.

Tetapi oleh kerana keadaannya yang hampir maut, tidak layak untuk menjalani pembedahan pemindahan jantung manusia dan tidak mempunyai pilihan rawatan lain.

“Ia sama ada mati atau melakukan pemindahan ini. Saya mahu hidup. Saya tahu pembedahan ini ibarat menembak di dalam gelap, tidak tahu berjaya atau tidak. Tetapi ia adalah pilihan terakhir saya,” kata Bennett sehari sebelum pembedahan, menurut kenyataan yang disediakan oleh Sekolah Perubatan Universiti Maryland.

PEMBEDAHAN SELAMA 7 JAM

Pembedahan pada Jumaat lalu mengambil masa tujuh jam di Hospital Baltimore. Dr Bartley Griffith yang melakukan pembedahan, berkata keadaan Bennet yang mengalami kegagalan jantung dan degupan jantung tidak teratur menyebabkan lelaki itu tidak layak untuk pemindahan jantung manusia atau pam jantung.

Pada hari Isnin, Bennett bernafas sendiri sementara masih disambungkan ke mesin jantung-paru-paru untuk membantu jantung baharunya.

Iklan

Beberapa minggu akan datang menjadi kritikal apabila Bennett pulih daripada pembedahan. Doktor akan memantau dengan teliti keadaan jantungnya.

KEKURANGAN ORGAN YANG DIDERMAKAN

Kekurangan pendermaan organ manusia untuk pemindahan mendorong saintis memikirkan cara menggunakan organ haiwan.

“Jika ini berjaya, pesakit yang menderita tidak akan menghadapi kekurangan bekalan organ untuk menjalani pemindahan jantung,” kata Pengarah Saintifik Program Pemindahan Haiwan Ke Manusia Universiti Maryland, Dr Muhammad Mohiuddin.

Iklan
Bennet (tiga dari kiri) bersama keluarga sebelum pembedahan.

Percubaan sebelumnya pada pemindahan sedemikian atau dipanggil xenotransplantation gagal kerana badan pesakit dengan cepat menolak organ haiwan.

Ia termasuk kes bayi bernama Fae yang hampir mati hidup 21 hari dengan jantung babun pada tahun 1984.

Perbezaannya, kali ini pakar bedah Maryland menggunakan jantung daripada khinzir yang telah menjalani ubahsuai genetik untuk mengeluarkan gula dalam selnya yang menyebabkan penolakan organ.

Difahamkan pesakit itu telah menerima injap jantung khinzir kira-kira sedekad yang lalu.

Sumber: ABC News