SEJAK pandemik Covid-19 melanda seantero dunia penghujung tahun lalu banyak sektor ekonomi terjejas teruk.

Industri penerbangan penumpang misalnya, antara sektor mengalami kejatuhan melampau berikutan gelombang virus terbabit yang sehingga kini masih belum menemui sinar penyelesaian.

Akibatnya jutaan kakitangan dalam industri penerbangan terpaksa diberhentikan kerja ekoran hasil penumpang yang semakin merosot.

Inilah situasi pahit ditelan oleh Maurice Maureen Avila yang mana kisahnya tular dalam media sosial baru-baru ini. Beliau merupakan salah seorang pramugari Syarikat Penerbangan Cebu Pacific di Filipina yang terlibat dalam proses diberhentikan kerja (retrenchment).

Jika sebelum ini wanita cantik itu mengatur langkah penuh bergaya dalam persalinan uniform rona kuning dan biru sambil menarik beg, namun kini berbeza. Putaran hidupnya ibarat jauh panggang dari api.

pramugari
PENAMPILAN Avila dalam dua ‘uniform’ berbeza. Diberhentikan kerja kerana pandemik sedikitpun tidak mematahkan semangatnya melakukan pekerjaan baharu demi kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, anak kelahiran Filipina tersebut berlapang dada dengan keadaan menimpa. Situasi perit itu sedikitpun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang demi kelangsungan hidup.

Iklan

Menerusi laman sosial Facebook peribadi, Avila tanpa segan silu berkongsi foto beliau menyarungkan ‘uniform’ baharu. Tiada lagi dandanan sanggul dan aksi menarik bagasi kerana kini dalam fasa baharu Avila bekerja menjual tong gas petroleum cecair (LPG).

“Inilah kerja (menjual LPG) yang saya lakukan pada hari ini. Ia merupakan perniagaan pertama diusahakan bersama teman lelaki secara kecil-kecilan.

“Jika dihitung genap sebulan setengah saya menganggur. Saya bukan lagi pramugari dan tidak lagi memiliki ‘sayap’,” tulis beliau yang turut mengakui pada mulanya berasa malu dengan situasi dialami.

pramugari
KENANGAN: AVILA berharap berharap apabila keadaan pulih nama beliau terpilih untuk bertugas kembali dalam industri penerbangan.

Malah, beliau juga hilang semangat selama dua minggu kerana tidak percaya perkara seumpama ini berlaku sekelip mata.

Iklan

“Pun begitu, saranan saya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dek pandemik usah berputus asa kerana rezeki itu luas.

“Setiap masalah mempunyai solusinya tersendiri. Bangkit dan berusaha,” ujar Avila yang berharap apabila keadaan pulih beliau akan diserap semula dalam industri penerbangan.

Direkodkan, berdasarkan data Jabatan Buruh dan Pekerja sejak bulan September lalu seramai 180,000 rakyat Filipina kehilangan pekerjaan disebabkan penularan pandemik terbabit.

Sumber: Facebook Maurice Maureen Avila, gmanetwork.com