Sakan mencarut sesama sendiri, lima ekor burung kakak tua terpaksa dikuarantinkan

Sakan mencarut sesama sendiri, lima ekor burung kakak tua terpaksa dikuarantinkan
October 1, 2020
Oleh Meen

BAGI peminat burung, burung kakak tua lazimnya menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan di dalam sangkar memandangkan warna bulunya yang unik dan sangat cantik.

Tambahan pula ada juga yang sanggup mengeluarkan belanja besar hingga mencecah RM150,000 bagi memiliki seekor burung jenis berkenaan.

Selain itu, satu lagi ciri yang ada pada burung kakak tua adalah kemampuannnya untuk meniru percakapan manusia.

Namun, itu tidak bermakna burung ini memahami percakapan manusia atau mampu bercakap seperti manusia. Sebaliknya, ia hanya mampu meniru dan mengulangi apa yang didengar.

Itu yang bahaya! Jika apa yang didengar itu perkataan yang elok, maka elok juga la apa yang diajuk. Namun, jika sebaliknya pasti mengundang huru-hara.

Iklan

Itulah apa yang terjadi kepada sekumpulan burung kakak tua di sebuah taman hidupan liar di Britain terpaksa dikuarantin apabila ia dilapor mengeluarkan kata-kata kesat malahan mencarut sesama sendiri.

Memetik laporan portal Mirror UK, lima ekor burung kakak tua jenis African Grey itu baru sahaja dipindahkan ke Lincolnshire Wildlife Park pada 15 Ogos lalu dan diletakkan dalam sebuah sangkar yang sama.

Steve Nichols, Ketua Pegawai Eksekutif di taman liar itu memaklumkan bahawa burung-burung itu terpaksa dikuarantin buat sementara waktu tetapi mengakui perkara itu bukan situasi pelik bagi burung kakak tua.

Iklan

“Ia sedikit sebanyak berjaya menghiburkan dan membuat kami tertawa, pengunjung juga nampak tidak kisah.

“Tetapi kami bimbang kerana pada hujung minggu, ramai kanak-kanak akan datang melawat,” jelas Nichols.

Tambah Nichols lagi, sebelum ini, burung itu pernah dipamerkan kepada pengunjung selama 20 minit dan ia menghamburkan kata-kata kesat. Namun, populariti taman itu naik mencanak.

Nichols mengakui sepanjang 25 tahun membawa spesies itu untuk pameran, ada juga burung kakak tua yang mencarut.

“Burung kakak tua Afrika sangat mahir meniru suara daripada bunyi yang didengari dan dilontarkan semula.

“Mengikut perancangan, burung kakak tua itu akan diletakkan dalam sangkar yang terpisah untuk mengelakkan ia saling mencarut, dan berperangai lebih baik,” katanya.

Kelima-lima burung itu kini ditempatkan dalam sangkar bersama beberapa burung kakak tua lain dengan harapan ia akan dapat membuang tabiat buruk itu.

About Meen

Biodata Penulis