Unik! Pengantin perempuan pilih kereta jenazah ke majlis kahwin, kisah cinta bermula di rumah mayat
KEBIASAANNYA, pengantin perempuan akan memilih kereta klasik atau mewah untuk hari bahagianya.
Namun, berbeza dengan wanita dari Brazil ini yang memilih untuk muncul di majlis perkahwinannya menaiki kereta jenazah, satu pilihan yang mencetuskan pelbagai reaksi warganet.
Wanita bernama Daniela Signor, 33, telah mengejutkan para tetamu apabila tiba dengan kenderaan yang tidak dijangka itu pada hari perkahwinannya bersama pasangan, Apollo Scariot, 31, di kawasan berhampiran Sao Paulo, Brazil.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, ramai yang memuji kecantikan Daniela, namun tidak kurang juga yang tertanya-tanya sebab di sebalik pemilihan kenderaan luar biasa itu.
"Semua orang di majlis perkahwinan terkejut, tetapi semasa melafazkan ikrar, kami jelaskan segalanya dan baca kisah kami. Kemudian barulah orang faham kenapa saya tiba dengan kereta jenazah," kata Daniela kepada Jam Press.

Rupa-rupanya, tindakan simbolik itu bukan sekadar gimik kerana terdapat maksud di sebaliknya dengan detik pertama Daniela bertemu suaminya itu.
Apollo Scariot merupakan seorang pengurus rumah mayat dan Daniela mula tertarik kepadanya semasa menghadiri upacara pengebumian seorang kenalan pada April 2023.
Sejak itu, wanita tersebut sanggup menghadiri beberapa pengebumian lain hanya untuk bertemu Scariot, walaupun mereka tidak saling mengenali ketika itu.
"Saya selalu fikir, kena peluk ahli keluarga si mati pun tak apa, janji dapat tengok dia. Tapi dia bukan selalu ada. Dia langsung tak tahu, saya hanya beritahu (perkara ini) bila kami mula berbual.
"Masa itu dia terkejut dan kata, 'Macam mana aku tak perasan kau sebelum ni?' Dia memang terlalu fokus pada kerja," kata Daniela.

Tercetusnya kisah cinta mereka apabila Apollo akhirnya menyedari kehadiran Daniela yang kerap ‘muncul’ di majlis pengebumian. Mereka mula menjalinkan hubungan pada musim panas tahun lalu dan kini sah menjadi suami isteri.
Lelaki tersebut juga mengakui tidak menyangka majlis mereka akan menarik perhatian ramai gara-gara pemilihan kereta jenazah sebagai simbolik cinta mereka.
"Kami langsung tak sangka. Kami putuskan untuk datang dengan kereta jenazah syarikat saya sebab itu sebahagian daripada kisah kami, iaitu cara kami bertemu. Jadi, memang tak jangka akan dapat perhatian sebegini," katanya.
Pasangan berkenaan turut menampal sepanduk putih di tingkap belakang kereta jenazah berkenaan bagi disesuaikan dengan suasana perkahwinan, namun masih mengekalkan elemen asalnya sebagai tanda kenangan bagaimana cinta mereka bermula.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
