China ada 5 vaksin Covid-19 yang kini sedang diuji fasa akhir, harganya mungkin lebih murah
HARI demi hari, pakar dan saintis seluruh dunia dilihat ‘berlumba-lumba’ cuba untuk menghasilkan vaksin Covid-19 ekoran penularan pandemik tersebut masih belum menemui jalan tamat sehingga ke hari ini.
Satu demi satu kejayaan dicapai dan beberapa vaksin dengan ketepatan yang tinggi telah berjaya dihasilkan.
Terbaharu, terdapat lima lagi calon vaksin Covid-19 yang telah memasuki ujian percubaan fasa ketiga di China setakat ini dan antara yang paling disebut-sebut adalah vaksin Coronavac dihasilkan syarikat Sinovac Biotech dan Sinopharm oleh syarikat China National Biotec Group (CNBG).
Memetik laporan portal media tempatan, dilaporkan seramai 60,000 individu telah menerima suntikan vaksin Sinovac melalui Program Kecemasan yang dilancarkan Beijing sejak Julai lalu.
Menurut Wartawan Radio Antarabangsa China (CRI), Zhang Hong, keputusan ujian percubaan fasa ketiga masih belum diumumkan syarikat farmaseutikal yang membangunkan vaksin Sinovac dan Sinopharm adalah disebabkan lokaliti ujian itu diadakan.
"Sebagai contoh, vaksin dari China menjalani ujian percubaan fasa ketiga di Brazil dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai kadar jangkitan lebih rendah berbanding Amerika Syarikat ketika ini yang menyaksikan lonjakan kes baharu."Justeru itu, akan memakan masa yang lama untuk mengumpul data bagi kesemua sukarelawan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu penerima vaksin dan suntikan palsu atau plasebom" katanya.
Mengulas lanjut, Hong berkata, China tidak berada dalam keperluan mendesak untuk mendapatkan vaksin kerana negara itu hanya mempunyai risiko kes import yang rendah dan barangan import yang diterima mempunyai kesan virus pada bungkusan.
"Hanya pekerja di pelabuhan dan lapangan terbang yang berisiko dijangkiti virus itu dan itulah cabaran besar China setakat ini untuk mengawal kes penularan."Kita boleh lihat kehidupan masyarakat di China telah kembali seperti normal namun perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan amalan kebersihan," jelasnya.
Menurut Data Johns Hopkins University, China merekodkan keseluruhan 91,885 kes jangkitan dengan 4,742 kematian setakat ini.
Ditanya sama sekiranya vaksin yang dihasilkan di China lebih murah daripada vaksin yang dihasilkan di Amerika Syarikat dan Eropah, Hong berkata perkara itu sudah dinyatakan oleh pemimpin China berulang kali.
"Dalam Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini pemimpin China menegaskan ASEAN akan diutamakan setelah vaksin China berjaya dihasilkan serta akan disenaraikan sebagai produk awam yang mampu dibayar oleh semua negara membangun.
"Walaupun beberapa syarikat farmaseutikal telah mengumumkan harganya, namun itu bukanlah matlamat kerana ini merupakan cabaran global jadi ia memerlukan satu bentuk penyelarasan."Jadi harganya mungkin lebih murah berbanding negara-negara barat dan paling penting tidak kira berapa harganya, dari mana datangnya vaksin ia merupakan satu berita gembira kepada seluruh umat manusia sekiranya berjaya dihasilkan dengan berkesan," ujar beliau.
Sumber rujukan : astroawani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang