Doktor dedah ramai ibu bapa mohon sijil cuti 'tipu' anak tidak hadir ke sekolah
MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Itulah peribahasa yang boleh dikaitkan dengan situasi yang bakal dikongsikan ini.
Ujar Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui entri Facebooknya berkata, sebelum saya mula, saya hendak memohon maaf dahulu kepada pihak yang ingin saya tegur iaitu ibu bapa pelajar dan pihak sekolah.
“Tiada niat selain mahukan yang terbaik untuk pada pelajar,” tulisnya.
Tulisnya di Facebook: beberapa tahun kebelakangan ini, saya lihat pihak sekolah semakin tegas dalam memastikan para pelajar hadir ke sekolah.
“Itu perkara yang saya harus puji. Kita perlukan ketegasan untuk mendidik,”.
Pada masa sama, dikhabarkan oleh kebanyakan ibu bapa pelajar, bahawa pihak sekolah akan memohon penjelasan daripada ibu bapa pelajar sekiranya anak mereka tidak hadir ke sekolah.
“Seandainya sakit, perlu beri bukti cuti sakit daripada doktor. Jika ada urusan keluarga seperti kematian, kelahiran atau keuzuran ahli keluarga, ibu bapa perlu kemukakan surat rasmi sebagai dokumentasi.
“Saya sebagai doktor, ada perkara saya perlu beritahu. Jujur saya katakan, ramai ibu bapa bawa anak datang ke klinik dan paksa doktor beri cuti sakit pada anak, sedangkan anak mereka tidak sakit.
“Pelajar itu tidak hadir ke sekolah kerana ikut keluarga bercuti, ada kerana tidak sempat pulang dari kampung kerana jalan raya sesak, ada kerana kenderaan rosak dan ada juga kerana kerja sekolah tak siap,” tulisnya panjang lebar.
Dr Kamarul Ariffin turut bercerita: saya enggan beri cuti sakit, tetapi ibu bapa seboleh-bolehnya merayu, memujuk, memaksa, malah ada sampai mengugut saya demi untuk dapatkan juga cuti sakit anaknya tak sakit itu.
Lebih sukar bagi saya jika ibu bapa itu meminta sijil cuti sakit untuk anaknya, dengan tarikh yang lebih awal daripada hari mereka ke klinik. Kadang-kadang tarikh dua hari awal.
Parah!
Kenapa saya sibuk nak ketengahkan perkara ini?
Sebenarnya begini.
“Perilaku ibu bapa tadi dilihat oleh si anak. Mereka melihat ibu bapa memaksa doktor untuk diberikan sijil cuti sakit, tawar duit untuk sijil cuti sakit dan cuba tipu tarikh pemberian sijil cuti sakit.
Bila pelajar ini dewasa nanti, pastinya sebahagian besar mereka akan rasa amalan tersebut adalah amalan biasa.
Sebahagian besar mereka akan praktikkan juga amalan itu abila mereka sudah bekerja kelak.
Katakan, saya menolak permintaan ibu bapa tadi, mereka akan mengujahkan pihak sekolah yang minta sijil cuti sakit (MC) dan kalau tidak dapat kemukakan MC itu, markah terkumpul (carry over) pelajar akan ditolak atau pelajar akan didenda.
Terus terang, saya tidak pasti sama ada dakwaan ibu bapa itu benar atau tidak tetapi ramai ibu bapa yang mengatakan perkara yang sama.
“Ramai dakwa, tak semestinya ia benar,”.
Sungguhpun begitu, jika ia benar, saya rasa ia ketegasan yang agak berlebihan.
Jika keuzuran ringan dan pelajar tidak hadir satu hari, pada pendapat saya, cukuplah surat makluman daripada ibu bapa.
Ketegasan berlebihan begini, pada hemat saya tidak mendatangkan hasil yang baik. Jika pelajar tidak hadir ke sekolah atas apa-apa sebab, mereka akan minta ibu bapa dapatkan cuti sakit.
Akhirnya, ponteng kelas membawa kepada, sikap manipulatif, pemalsuan keuzuran dan sijil cuti sakit, dan inokulasi perilaku-perilaku negatif lain seperti telah dinyatakan awal tadi.
Kita semua pihak, termasuk saya, ibu bapa, dan pihak sekolah perlu sama-sama perlu faham bahawa pelajar tidak ke sekolah bukan hanya atas faktor kesihatan semata-mata.
Jika tidak hadir ke sekolah bukan atas faktor kesihatan, ibu bapa tak perlu kemukakan sijil cuti sakit.
Tulis sahaja surat penjelasan kepada sekolah. Begitu juga cuti yang dirancang, hantar permohonan cuti awal-awal.
Saya percaya, jika alasan dan tempoh cuti dalam permohonan itu munasabah, maka pihak sekolah tidak akan mengambil apa-apa tindakan disiplin terhadap pelajar berkenaan.
Di alam pekerjaan nanti, ini juga prosedurnya. Pupuklah amalan berkenaan dari bangku persekolahan lagi.
Cadangan saya, lagi elok jika surat mohon cuti itu ditulis oleh pelajar dan disahkan oleh ibu bapa.
Jika memang pelajar tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang kukuh maka ibu bapa tidak perlu cuba melindungi kesalahan itu. Ajarlah mereka bertanggungjawab atas perbuatan mereka sendiri.
“Sebelum tamatkan omelan ini, saya mohon maaf sekali lagi daripada pihak-pihak yang terlibat andainya ada hal yang ditulis ini tidak tepat. Saya terbuka untuk diperbetulkan,” tulisnya di akhir entri Facebook berkenaan.
Kredit: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang