BERITA baik buat korang kaki durian, Jabatan Pertanian Malaysia hari ini melancarkan Standard Durian Kampung Premium (DKP) bagi membolehkan buah berkenaan mendapat harga yang setimpal di pasaran.

Memetik laporan portal media tempatan, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, standard berkenaan juga sebagai panduan kepada petani, penjual dan masyarakat dalam membezakan durian kampung berkualiti tinggi iaitu DKP dan durian kampung gred rendah.

Katanya ketika ini, harga bagi buah berkenaan masih rendah dan bergantung kepada permintaan, meskipun memiliki kualiti yang baik setanding durian klon yang lain.

“DKP ini memiliki kualiti yang setanding dengan durian lain seperti Udang Merah dan IOI dan memiliki warna kekuningan, krim dan jingga dan mempunyai rasa berlemak dan sedikit pahit.

“Bagaimana pun ia dijual masih pada harga rendah dan kita mahu DKP ini mendapat harga yang sepatutnya,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut beliau berkata, seluas 73,740 hektar kawasan tanaman durian direkodkan bagi 2018, dengan pengeluaran sebanyak 341,332 metrik tan dan daripada jumlah tersebut seluas 28, 021 hektar atau 38 peratus, ditanam dengan durian kampung.

Ahmad berkata selain itu, DKP juga turut akan disenaraikan untuk dipromosikan kepada negara luar seperti China dan Singapura.

Iklan

“Pada tahun lepas sahaja, export durian ke dua negara berkenaan mencecah jualan RM400 juta dan bagi tahun ini permintaannya masih ada. Untuk DKP, memang ada usaha untuk kita promosikan,” katanya.