PERKATAAN endemik, epidemik dan pandemik tular dalam kalangan masyarakat apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa Covid-19 tergolong dalam kelompok pandemik.

Melalui satu kajian oleh Pakar Perubatan Masyarakat dengan pengkhususan dalam Epidemiologi dan Biostatistik, Dr Helmy Hazmi, menghuraikan maksud endemik, epidemik dan pandemik.

ENDEMIK

Endemik bermaksud kejadian sesuatu penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu masyarakat atau tempat.

Bilangan kes penyakit tersebut sentiasa ada namun masih pada kadar yang stabil. Dengan kata lain, kewujudan sesuatu penyakit tersebut sentiasa dijangka dan biasanya pada kadar yang tetap dan rendah.

Contoh penyakit yang sentiasa ada ataupun endemik di Malaysia adalah penyakit Tangan Mulut dan Kaki (HFMD).

Denggi dikenali sebagai sesuatu penyakit yang endemik di Asia Tenggara. Di peringkat antarabangsa pula, penyakit polio adalah endemik di tiga buah negara di dunia iaitu Afghanistan, Nigeria dan Pakistan.

Penyakit yang dikenal pasti endemik tidak semestinya kekal endemik. Program kawalan penyakit seperti pemvaksinan, pendidikan masyarakat dan sebagainya bertujuan untuk mengurangkan seterusnya menghapuskan penyakit endemik tersebut.

Namun demikian usaha ini sudah tentu mencabar. Pelbagai faktor berterusan yang sukar dikawal menyumbang kepada sifat endemik sesuatu penyakit, contohnya, kewujudan habitat semula jadi yang subur untuk haiwan pembawa, sikap manusia itu sendiri, kekurangan alatan untuk mendiagnosis, kekangan ubatan dan sebagainya.

Contoh penyakit endemik yang berjaya dihapuskan adalah seperti malaria dan demam campak di Amerika Syarikat dan polio di Malaysia.

Iklan

EPIDEMIK

Sementara itu, sekiranya bilangan kes sesuatu penyakit tersebut mendadak naik melebihi kadar yang biasa, ia dipanggil wabak atau epidemik.

Biasanya, peningkatan kes sesuatu penyakit yang mendadak itu akan jelas kelihatan dalam sesuatu komuniti dan lingkungan masa yang tertentu melalui aktiviti pemantauan atau surveilans.

PANDEMIK

Pandemik merujuk kepada wabak yang merebak secara besar-besaran ke seantero dunia merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar.

Iklan

Salah satu ciri pandemik adalah melibatkan penyakit yang mempunyai kadar serangan yang tinggi sehingga menyebabkan bilangan kes meledak secara tiba-tiba dalam masa yang singkat.

Biasanya, penyakit yang menyebabkan pandemik adalah penyakit baru (novel) yang mana populasi manusia tidak mempunyai imuniti atau daya tahan melawan terhadap penyakit tersebut.

Ciri tersebut memudahkan penyakit itu merebak dengan pantas dan boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi.