Pelabur ASB jangan cepat ‘melatah’, ini penting apa yang perlu anda lakukan

Peminjam ASB bimbang dividen tidak cukup ‘cover’ jumlah bayaran balik bank
Peminjam ASB bimbang dividen tidak cukup ‘cover’ jumlah bayaran balik bank
A
A
A

SEJAK Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pembayaran pendapatan untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan 31 Disember 2020, mungkin ramai pelabur yang mula mengeluh.

Mana tidaknya, agihan pendapatan yang diumumkan semalam iaitu sebanyak 4.25 sen seunit dan 3.50 sen seunit serta bonus 0.75 sen seunit adalah pulangan paling rendah berbanding tahun-tahun sudah.

Hal itu membuatkan orang ramai mula ‘melatah’ kerana bimbang jumlah pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi untuk membuat bayaran balik pinjaman.

Namun, pelabur ASB yang mengambil Pembiayaan ASB adalah dinasihatkan untuk menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah, selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas (KA) dan Kadar Pembiayaan Asas (KPA) yang menentukan kadar Pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank.

“Sekiranya pelabur masih belum menerima pengurangan dalam kadar Pembiayaan ASB mereka, kami menasihatkan mereka supaya segera menghubungi pihak bank bagi menyemak semula kadar pembiayaan berkenaan,” menurut kenyataan tersebut.

ASNB berkata, pihaknya juga telah mewujudkan Pusat Khidmat Nasihat Pembiayaan ASB yang boleh dihubungi mulai hari ini melalui Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-77308899 untuk membantu pelabur yang mengambil Pembiayaan ASB menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan mereka.

“Mereka hanya perlu menghubungi nombor berkenaan untuk mendapatkan khidmat nasihat yang berkaitan,” katanya.

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak 4 kali pada tahun ini, iaitu pada bulan Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu.

Secara keseluruhannya, OPR telah diturunkan sebanyak 1.25 peratus untuk tahun 2020.

Ini menjadikan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu pada kadar 1.75 peratus.

OPR telah diturunkan sebagai sebahagian usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan kesan negatif Covid-19 kepada persekitaran ekonomi global.

Pengurangan kadar pembiayaan ini bakal memberi impak kepada kedudukan kewangan peminjam untuk jangka panjang dan mampu mengurangkan beban kewangan peminjam dalam keadaan yang sukar ini.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca