PEMAKAIAN topeng muka juga merupakan antara norma baru bagi melindungi masyarakat di tempat awam dari jangkitan virus.

Ia bukanlah tindakan wajib tetapi ia satu langkah kawalan sukarela bagi masyarakat untuk menbantu mengekang penularan virus.

Penggunaan topeng muka berguna terutamanya apabila anda berada di tempat awam.

Namun, Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan ketika dihubungi SinarPlus hari ini menjelaskan, bayi dan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun tidak digalakkan memakai topeng muka walaupun ada yang diiklankan sebagai sesuai.

DR YUSOFF

Bayi dan kanak-kanak bawah 2 tahun tidak sesuai memakai topeng muka kerana:

1. Saluran pernafasan kanak-kanak adalah sempit berbanding orang dewasa. Mereka mudah rimas dan lemas apabila memakai topeng muka. Mudah untuk mengalami kesukaran bernafas.

2. Apabila mereka rimas, mereka akan cuba untuk menanggalkan topeng muka tapi akan gagal kerana perkembangan motor halus (tangan dan jari) mereka masih belum matang.

3. Untuk mengeruhkan keadaan lagi, mereka akan meraba-raba pada muka mereka. Akan mudah dijangkiti virus jika tangan mereka kotor.

4. Topeng muka yang longgar tidak memberikan pelindungan. Topeng muka yang ketat akan melemaskan.

Jadi, apa boleh ibu bapa lakukan bagi mencegah anak kecil anda supaya tidak dijangkiti wabak berkenaan?

Ini saranan Dr Yusoff:

Iklan

Untuk mencegah jangkitan virus bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, mereka tidak memerlukan topeng muka, sebaliknya, ibu bapa perlu pastikan:

1. Amalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter jika keluar rumah.

2. Senantiasa membasuh tangan dengan sabun, ataupun menggunakan hand sanitizer beralkohol 60-70 peratus.

3. Untuk bayi kecil, dibolehkan menutup carrier mereka dengan kain (bukan menutup muka bayi) semasa keluar. Perbuatan ini hanya dibolehkan dalam keadaan di mana bayi boleh diperiksa serta-merta sahaja. Jangan tinggalkan bayi dalam keadaan mereka tidak boleh dilihat secara langsung.

Iklan

4. Duduk di rumah jika tidak ada sebab kukuh untuk keluar.

5. Jika anak mempunyai masalah perubatan yang serius seperti kanser, masalah jantung atau paru-paru kritikal dan lain-lain, boleh gunakan topeng muka kain.

Apapun, rujuk doktor masing-masing untuk tip pencegahan yang lebih terperinci.