Akmal kesal jadi mangsa fitnah media sosial
PELAKON Akmal Ahmad kesal apabila menjadi mangsa fitnah apabila namanya dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral.
Menerusi laman media sosial miliknya, pelakon filem Pulang yang turut aktif di pentas teater itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang mengatakan dia pernah meminta gambarnya untuk tujuan tidak baik dan merupakan scammer.
“Dunia semakin moden, teknologi semakin canggih juga fitnah semakin berleluasa. Pemilik akaun Instagram (IG) terbabit mendakwa saya pernah makan tengahari dengannya pada sekian tarikh di sekian tempat.
“Saya kononnya telah meminta gambar untuk dijadikan model lucah dan menuduh saya juga sebagai scammer.
“Saya ini, saya ingin membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa saya tidak pernah kenal pemilik akaun IG ini, apatah lagi pernah berjumpa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Akmal, berkata, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tidak pernah keluar rumah.
“Saya tidak pernah keluar rumah sepanjang PKP dilaksanakan. Sesiapa yang kenal saya pun tahulah. Kalau bukan PKP, nak ajak lepak pun susah apatah lagi dengan orang yang saya tak kenal atau rapat.
“Kepada anda semua, kalau ada terima apa-apa saja mesej yang anda tidak pasti tentang saya atau sesiapa saja, siasat dulu.
“Tanya tuan empunya badan dulu. Sekarang, saya betul teringin nak jumpa pemilik akaun IG tu,” katanya.
Difahamkan Akmal, 34, telahpun membuat laporan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, pada Jumaat sebagai penafian rasmi terhadap tuduhan tersebut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang