PENYANYI bersuara lunak, Siti Nordiana tidak menunggu lama untuk tampil dengan single baharu selepas Angkara yang dilancarkan akhir tahun lalu.

Lagu Cukup Derita Itu mendapat sentuhan komposer hebat, Tam Spider dan liriknya hasil nukilan Siti Rosmizah, membuatkan Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana, menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu berkenaan.

Lebih istimewa, lagu tersebut juga menjadi runut bunyi drama yang menggunakan judul sama, Cukup Derita itu lakonan bintang ternama Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P Ramlee, Balkisyh Semundur Khan dan ramai lagi.

Drama arahan Along Kamaludin kini sedang ditayangkan di Slot Samarinda TV3 dan mendapat sambutan hangat.

Bercerita mengenai lagu barunya itu, Nana, 36, memberitahu dia berdepan cabaran tersendiri dalam melunaskan lagu itu. Apatah lagi, dia sendiri tahu betapa pentingnya lagu runut bunyi yang menjadi nadi kepada keberkesanan sesuatu drama.

“Lagu runut bunyi perlu ada pendekatan tersendiri dan itulah cabaran yang saya hadapi untuk memastikan Cukup Derita Itu menjadi.

“Pertama sekali, semestinya saya kaji terlebih dahulu keseluruhan plot cerita drama berkenaan untuk memastikan dapat gambaran tepat.

“Memandangkan drama itu adalah naskhah yang menuntut permainan emosi dan ada babak kesedihan, saya kena tekankan daripada segi itu juga.

“Justeru, untuk lagu ini, saya cuba salurkan corak penceritaan dengan nada merintih terhadap setiap bait liriknya.

“Paling penting, secara peribadi saya memang sangat berbesar hati dapat menyanyikan karya nukilan Tam. Dia sememangnya komposer yang begitu teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu berkenaan dengan emosi tepat,” katanya.

Sentiasa mengutamakan ketelitian dalam karyanya, Tam pula mengakui lagu Cukup Derita Itu satu tugasan cukup besar.

Iklan

Sebelum beralih kepada proses rakaman, perbincangan mendalam dengan Siti Rosmizah dibuat untuk memastikan aura lagu terbabit mampu setanding jalan cerita drama itu sendiri.

“Walaupun runut bunyi itu hanya berdurasi beberapa minit, penghasilannya perlu dilakukan dengan begitu teliti.

“Terutama daripada segi melodinya, kena menepati keseluruhan mood serta perjalanan kisah yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan.

“Saya harus puji bagaimana Siti Rosmizah menerangkan secara mendalam dan terperinci berkenaan aspek penceritaan itu.

Iklan

“Ia sangat membantu saya untuk menghasilkan lagu yang boleh meruntuh jiwa ramai sebaik mendengarnya serta menghayati baik liriknya,” ujarnya.

Cukup Derita Itu kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Manakala video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.