BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin terasa apabila senarai nama calon yang akan bertanding mewakili parti masing-masing pada 19 November ini diumumkan.

Pelakon dan pengarah Datuk Seri Eizlan Yusof dan Dr Ahmad Idham merupakan selebriti yang diumumkan sebagai calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah parti Pejuang pada majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-Pejuang yang diadakan di Pusat Konvensyen Bangi pada Rabu.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 51, dicalonkan untuk menandingi kerusi di Parlimen Sabak Bernam, Selangor, manakala Ahmad Idham, di Parlimen Port Dickson.

Eizlan ketika ditemui, berkata, pada awalnya beliau tidak meletak sebarang harapan untuk dicalonkan walaupun dilantik sebagai Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Ini adalah satu tanggungjawab besar yang harus saya pikul demi bangsa dan negara.

“Saya harap pembabitan saya dalam politik memberi manfaat kepada semua, terutama Parlimen Sabak Bernam yang saya wakili,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham, 48, menganggap pencalonan tersebut sebagai satu amanah besar buatnya daripada pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Iklan

“Saya sentiasa berpegang kepada bicara gerak kerja lebih bermakna berbanding hanya ungkapan kata-kata.

“Saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan untuk meneruskan gerak kerja yang saya mulakan dengan lebih luas, bukan hanya menfokuskan kepada komuniti istimewa semata-mata sebaliknya turut menyasarkan kepada rakyat dan penduduk di Port Dickson secara keseluruhannya.

Iklan

“Kestabilan ekonomi, penyelesaian permasalahan utama di sini, menggencarkan aktiviti pelancongan, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam serta menjadikan Port Dickson sebagai Hab Pendidikan Khas merupakan antara perjuangan utama yang sedang saya perjuangkan,” katanya.

Proses penamaan calon akan diadakan pada 5 November, manakala PRU15 pada 19 November depan.