Erti pengorbanan sebenar buat Nabil Ahmad
HARI ini, seluruh umat Islam di dunia akan meraikan Hari Raya Aidiladha, perayaan yang memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S.
Seperti kelazimannya, umat Islam yang berkemampuan dianjurkan untuk melakukan ibadah korban.
Tidak ketinggalan untuk melakukan ibadah itu adalah pelawak, pelakon dan pengacara terkenal, Ahmad Nabil Ahmad.
Menurut Nabil, 37, setiap tahun, dia tidak pernah ketinggalan untuk melaksanakan ibadah itu di tempat kelahirannya di Mambau, Negeri Sembilan.
"Alhamdulillah setakat ini saya tak pernah ketinggalan untuk membuat ibadah korban.
"Cuma saya difahamkan tahun ini Negeri Sembilan tidak membenarkan aktiviti sembelihan korban disebabkan Covid-19.
"Jadi saya akan usaha juga untuk melakukan ibadah itu di lokasi yang dibenarkan. Harap dipermudahkan," ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis sidang media filem terbaharu arahan Nabil, Mat Bond Malaya yang diadakan secara virtual pada Jumaat.
Ditanya erti pengorbanan sebenar buatnya, Nabil berkata, setelah mengikuti kelas-kelas tabligh, baharulah dia memahami erti pengorbanan sebenar yang dilakukan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
"Kisah pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu sebenarnya adalah mengenai ketaatan. Betapa taatnya Nabi Ibrahim apabila ALLAH SWT perintahkannya menyembelih anaknya dan taatnya juga Nabi Ismail apabila dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Jadi bagi saya pengorbanan itu adalah ketaatan kita kepada perintah ALLAH SWT. Tinggalkan larangan-Nya dan mengikuti perintah-Nya; mendirikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji," jelasnya.
Tambah Nabil, sepanjang hidup, dia merasakan belum pernah membuat pengorbanan besar, namun begitu kagum dengan pengorbanan wanita bergelar isteri dan ibu.
"Saya rasa belum ada pengorbanan besar yang saya lakukan dalam hidup. Saya rasa isteri saya yang telah banyak membuat pengorbanan besar.
"Tinggalkan kerjayanya untuk menjadi isteri, kemudian melahir dan membesarkan anak kami. Semoga ALLAH merahmati mereka yang banyak membuat pengorbanan dalam hidupnya ini," katanya.
Misi RM10 juta
Dalam pada itu, bercerita mengenai filem pertama arahannya, Mat Bond Malaya yang menemui peminat bermula hari ini di Astro First, Nabil berkata, dia berharap menerima respons positif dan pulangan besar.
Katanya, dia sudah berniat untuk menghulurkan bantuan kepada kru belakang tabir filem berkenaan yang terkesan dengan keadaan semasa.
"Sejujurnya filem ini sepatutnya ditayangkan di pawagam dan saya ada terdetik, kalau filem ini dapat pulangan RM20 juta, saya berniat nak beri bonus pada pelakon dan kru.
"Bagaimanapun disebabkan Covid-19 dan filem ini ditayangkan di Astro First, saya berharap ia akan mampu mencecah kutipan RM10 juta.
"Hasil keuntungan filem itu saya mahu kongsikan dengan kru yang terjejas. Dalam keadaan sekarang, ramai yang perlukan duit untuk membayar rumah, kereta dan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.
“Saya harap, hasil jualan filem ini dapat meringankan beban dan bantu mereka untuk teruskan kehidupan,” jelasnya.
Mat Bond Malaya dibintangi Naqiu, Elizabeth Tan, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, Farid Halus dan ramai lagi. Filem ini bakal menemui penonton pada 20 Julai ini di saluran Astro First, 480.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang