FESTIVAL Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) kini kembali memeriahkan industri seni dan budaya tempatan selepas terhenti seketika pada tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Pada tahun ini, acara anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung secara dalam talian melalui saluran media sosial JKKN TV, pada 16 Julai, bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam.

FKRK @Online 2021 bakal memaparkan keunikan seni budaya masyarakat Kelantan menerusi pelbagai pengisian menarik.

Antaranya ialah persembahan Makyung, Dikir Barat, Dikir Laba, Gasing Uri, tarian dan lagu rakyat, alat muzik tradisional, makanan tradisional serta banyak lagi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, penganjuran acara itu merupakan salah satu usaha kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri dalam mengetengahkan produk seni dan budaya ke peringkat antarabangsa.

“Saya berharap agar program kesenian tradisional yang terdapat di negara ini dapat dipromosi dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Iklan

“Saya percaya dengan kualiti produk dan kaedah promosi secara digital dapat membantu negara dalam menyumbang ke arah tarikan kehadiran pelancong,” ujarnya.

Antara program menarik yang akan diadakan dalam Festival Kesenian Rakyat Kelate

Dalam pada itu, mesej mengenai kepentingan imunisasi turut disampaikan kepada masyarakat menerusi animasi wayang kulit Wok Yoh, Samad & Said, terbitan Art Media Productions serta video kempen berkenaan vaksinasi.

Iklan

Tidak ketinggalan, program ini turut diselitkan dengan slot tazkirah kerohanian oleh pendakwah terkenal iaitu Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Nabil Ahmad dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Omar.

Maklumat lanjut mengenai FKRK @Online 2021, boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.jkkn.gov.my atau laman sosial JKKN iaitu www.facebook.com/mysenibudaya dan www.facebook.com/jkknkelantan.