PENYANYI dan penyampai radio, Haiza teruja dapat berkongsi kegembiraan bersama para pelajar di beberapa buah sekolah terpilih sekitar Lembah Klang untuk menikmati sarapan percuma menerusi kempen Buletin Belanja Breakfast.

Tidak berseorangan, Haiza turut ditemani rakan-rakannya iaitu barisan penyampai Buletin FM seperti Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan dan Hanif Miswan yang sama-sama meluangkan masa untuk memberikan pelbagai info dan menyuntik semangat kepada pelajar terlibat.

Teruja dengan sambutan yang diberikan, Haiza berkata, kempen tersebut ternyata dapat membawa senyuman kepada para pelajar dan guru-guru di sekolah terbabit.

“Sebenarnya kempen yang kita buat ini untuk memberi kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan sarapan sebelum memulakan hari persekolahan mereka. Sarapan yang berkhasiat penting untuk perkembangan minda dan tubuh badan mereka.

“Kita sedar ramai dalam kalangan pelajar tidak bersarapan setiap kali memulakan hari persekolahan mereka. Jadi kita datang kepada mereka untuk memberikan kesedaran kepada mereka tentang kepentingan sarapan,” katanya.

Haiza dan rakan-rakan penyampai Buletin FM teruja dapat masuk sekolah dan berkongsi kegembiraan bersama para pelajar.

Apa yang lebih menggembirakan penyanyi lagu Dag Dig Dug… Mana Tahan itu apabila kebanyakan pelajar memberikan maklum balas yang baik dan teruja dengan progam yang julung-julung kali diadakan itu.

Apatah lagi pada kesempatan sama, mereka dapat bertemu dengan barisan penyampai Buletin FM yang merupakan tenaga kerja profesional daripada pelbagai latar belakang.

“Sebenarnya apabila berpeluang hadir ke sekolah memang sangat menyeronokkan. Saya sendiri pun sudah lama meninggalkan alam persekolahan dan pastinya kehadiran kali ini menggamit kenangan dahulu.

“Paling seronok apabila dapat menghadiri perhimpunan sambil membaca rukun negara, menyanyikan lagu sekolah dan sebagainya. Semua perkara ini dah lama ditinggalkan, memanglah kami semua teruja,” katanya.

Kongsi pengalaman

Dalam pada itu, Haiza optimis untuk mempromosikan Buletin FM sebagai sebuah stesen radio yang memberikan fokus isu semasa dan info terkini.

Mengisi kesempatan sama, barisan penyampai Buletin FM juga berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus yakin dalam berkomunikasi dalam menyuarakan pendapat.

Iklan
Bukan sahaja memberi sarapan percuma, tetapi Haiza juga seronok dapat melakukan aktiviti para pelajar terlibat.

Malah kehadiran mereka juga adalah untuk membantu membentuk keyakinan kepada pelajar agar lebih berani untuk tampil ke depan, selain mendedahkan kepada pelajar tentang bidang kerjaya dalam bidang hiburan dan komunikasi.

“Banyak perkara yang kami kongsikan dalam sesi Buletin Beri Breakfast baru-baru ini. Kalau dilihat barisan penyampai Buletin FM terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Iklan

“Ada penyampai berita, ada juga pengulas sukan dan saya sendiri mewakili golongan penyanyi. Sudah tentu banyak perkongsian yang diberikkan untuk pelajar dan ibu bapa juga,” katanya yang turut mengalu-alukan penyertaan daripada sekolah lain selepas ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.