Hijab tidak halang Vicha berlawak

VICHA SAYWHO
VICHA SAYWHO
A
A
A

SEMAKIN selesa dengan penampilan berhijab, pelawak dan pelakon kelahiran Indonesia, Vicha Saywho tidak melihat penghijrahan itu sebagai sesuatu yang mengganggu kerjaya seninya.

Biarpun pada awalnya, sangsi dengan penerimaan peminat dan bimbang jika tawaran kerja berkurangan disebabkan imej baharu itu, pemilik nama sebenar Revika Novianti Faturohman, mengakui lega apabila sebaliknya berlaku.

“Ketika mula-mula mengambil keputusan berhijab, saya risau jika hilang tawaran kerja. Maklumkan sebagai pelawak, mungkin aksi saya akan jadi berbeza dengan penampilan baharu ini.

“Bagaimanapun saya kuatkan hati dan teruskan hasrat itu kerana yakin niat yang baik selalunya akan memberi hasil yang baik juga.

“Alhamdulillah ALLAH permudahkan segala urusan saya dalam segala hal, termasuk kerjaya seni,” katanya yang mula berhijab sejak awal Ogos lalu.

Tambah wanita berusia 33 tahun itu lagi, dia tidak menyangka rezeki semakin terbuka luas dan mendapat banyak peluang baharu mengembangkan kerjaya seni.

“Saya bersyukur apabila rezeki dalam bidang seni semakin murah. Kalau sebelum ini tidak pernah bekerja dengan TV AlHijrah atau Naura, sekarang saya mendapat peluang itu.

“Begitu juga dengan beberapa projek baharu yang kini masih lagi dalam perbincangan.

“Apa pun, saya masih individu sama sebagaimana sebelum ini. Tugas saya masih di sini untuk menghiburkan orang ramai,” ujar ibu kepada tiga anak itu.

Sertai Puteh

Dalam perkembangan lain, Vicha yang ditemui pada sidang media Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) yang diadakan secara virtual baru-baru ini, tampil membuat kejutan apabila bakal bergabung dengan kumpulan Puteh.

Persaingan musim baharu itu akan bermula pada 15 Oktober ini dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna (107), setaip Jumaat, jam 9 malam.

“MLM2021 bakal menampilkan banyak kelainan daripada saya. Bukan sahaja pertama kali tampil berhijab di pentas lawak itu, tetapi saya juga bergandingan dengan kumpulan Puteh yang dianggotai oleh Ali dan Mamak.

“Di pentas MLM sebelum ini, saya pernah bersama Saywho, Masin, Jborn dan kini mencuba nasib dengan Puteh pula. Saya pasti konsep dan permainannya akan jadi berbeza dan tidak sama seperti penampilan kami bersama kumpulan asal masing-masing sebelum ini.

“Walaupun sudah berhijab, saya tidak meletakkan sebarang syarat atau halangan dalam aksi di pentas. Apa sahaja watak diberikan, saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

Menjawab tanda tanya ramai apabila tidak lagi beraksi bersama kumpulan Jborn yang cukup sinonim dengannya selepas dinobatkan sebagai juara program Muzikal Lawak Superstar (MLS) 2019, Vicha berkata, mereka hanya mahu mencari kelainan.

“Puteh mempelawa saya menyertai mereka untuk MLM kali ini kerana mahukan kelainan. Jborn juga bersama Man Raja Lawak dalam MLS musim baharu sebelum ini kerana saya mahu berehat seketika daripada program itu.

“Apa pun, kami tidak mempunyai sebarang masalah, jauh sekali bergaduh. Semuanya kawan-kawan dan saling menyokong,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca