PELAKON dan penyanyi, Jaafar Onn mengakui cukup terkesan dengan pemergian sahabat baiknya, Allahyarham Rohana Jalil pada Selasa lalu.

Jaafar yang sudah lebih 40 tahun mengenali Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil, 68, menyifatkan penyanyi itu sebagai seorang sahabat sejati dan tiada ganti.

“Dia seorang sahabat yang memahami siapa diri saya. Malah dalam ramai-ramai artis popular, hanya dia sahaja yang mahu berduet dengan saya. Dia terima saya seadanya.

“Selama bersahabat, saya tak pernah ambil hati dengan apa yang dia cakap pada saya. Kalau ada rasa kecil hati, saya terus buang dan lupakan kerana kami sudah lama kenal, lebih 40 tahun.

“Bukan senang nak cari sahabat yang tahu siapa diri kita. Kadang-kadang ada orang kenal perkotak-katikkan kita, tapi dia tak pernah. Dia suka berterus-terang dan kalau ada yang tak betul, dia tegur dan beri semangat pada saya,” katanya kepada SinarPlus.

Akui Jafaar, 71, terlalu banyak kenangannya bersama Allahyarham yang amat menggemari asam pedas masakannya itu.

Namun antara yang paling diingati ketika menjayakan persembahan terakhir bersama penyanyi lagu Rayuanku itu beberapa bulan lalu.

“Saya ada menjayakan persembahan bersamanya di Plaza Masalam beberapa bulan lalu dan pada ketika itu saya tengok dia dalam keadaan sakit yang agak teruk.

“Saya cakap pada dia, kalau sakit kenapa datang, tetapi dia kata datang sebab saya selalu jemput dia buat persembahan. Duit adalah soal kedua, tetapi baginya memenuhi undangan orang adalah lebih utama, apatah lagi bila sudah berjanji.

Iklan

“Ketika itu saya tengok dia nak berjalan susah dan menyanyi pun sambil duduk. Saya kagum sangat dengan semangatnya,” akui pelakon drama Cili Padi itu lagi.

Jaafar sebelum ini pernah tampil dalam album duet bersama Allahyarham Rohana dan sering menjayakan persembahan pentas bersama.

Terdahulu, ibu kepada pelakon Kilafairy itu disahkan meninggal dunia akibat kebocoran usus di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.33 malam Selasa.

Iklan

Jenazah selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!