Jadi pilihan Michael Ang, Yunadia tekad bukti kemampuan

A
A
A

GADIS kecil molek berasal dari Perak, Syazreen Yunadia atau dikenali dengan panggilan Yunadia, bersedia untuk memeriahkan industri seni.

Hadir mempertaruhkan single pertama berjudul Cha Cha Cinta, lagu ciptaan komposer, Iqie Hugh itu diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG).

“Alhamdulillah, syukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak AEG. Cita-cita saya untuk muncul dengan single sendiri akhirnya tercapai.

“Terima kasih khasnya buat Datuk KK Chua kerana mempercayai bakat saya sehingga dipilih menjadi artis di bawah naungan AEG,” katanya.

Menurut siswazah Jurusan Pendidikan (TESL), perjalanan seninya bermula sejak kecil lagi di mana dia sangat aktif menyanyi di sekolah dengan band yang dipanggil Kombo Cili Padi sehingga pernah mewakili Malaysia ke Istanbul untuk festival kanak-kanak bertaraf antarabangsa.

“Segalanya bermula sebagai hobi dan lama-kelamaan bertukar menjadi sesuatu yang saya idamkan apabila dewasa.

“Saya sering menyertai pertandingan nyanyian di peringkat universiti, asalkan ada pertandingan saja, saya akan mencuba nasib.

“Sehinggalah pada satu hari saya menghadiri uji bakat ‘The Audition’ yang dianjurkan oleh AEG, ternyata rezeki berpihak kepada saya apabila dipilih oleh pengarah Michael Ang untuk melangkah ke peringkat seterusnya, dan setelah itu terus dipelawa menjadi artis naungan AEG,” jelas gadis berusia 21 tahun itu.

YUNADIAYunadia meminati bidang nyanyian sejak kecil.

Berbalik pada single, Cha Cha Cinta ialah sebuah lagu romantis santai yang mengetengahkan irama cha cha yang jarang kedengaran pada masa kini.

Namun komposisinya yang bersahaja ditambah pula dengan paduan vokal mantap Yunadia, ia menyuntik rasa moden dan kontemporari pada lagu ini.

“Sewaktu bertemu dengan Iqie, dia bertanya jenis genre yang saya gemar. Bila saya beritahu sukakan bunyi old school seperti cha cha, dia agak terkejut.

“Lagu ini menceritakan tentang seorang gadis yang sedang memujuk kekasih hatinya dengan mendendangkan sebuah lagu cinta untuk memenangi hati si lelaki,” jelasnya.

Minati Siti Nurhaliza

Meminati penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Hael Husaini, Yunadia berhasrat untuk menjadi seperti mereka suatu hari nanti.

“Saya sangat mengidolakan mereka kerana kedua-duanya mempunyai pencapaian yang membanggakan sebagai anak seni.

“Perjalanan saya dalam bidang seni masih lagi jauh, saya ibarat sebuah gelas kosong yang perlu diisi dengan air dan banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Semoga Cha Cha Cinta dapat diterima ramai dan memberi nafas baharu dalam industri muzik kita dengan irama cha cha yang malar segar.

“Jangan lupa untuk terus menyokong dan nantikan karya-karya terbaharu saya pada masa hadapan,” ujarnya.

Lagu Cha Cha Cinta boleh dimuat turun di iTunes dan didengari melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Sementara itu, untuk lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Armani Entertainment.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca