Kembali selepas pengunduran Amy, Search pilih Akim

April 7, 2021
Oleh Aqmar Mustaza

PENGUNDURAN Amy sebagai vokalis kumpulan rock legenda, Search Mac tahun lalu, tidak mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan dunia seni.

Terbaharu, band itu bakal membuat persembahan pemanas badan atau warm up showcase menerusi Rockology Malaysian Tour 2021 yang bakal berlangsung pada 10 April ini, jam 9 malam di Waronk Avenue, Melaka.

Iklan

Menariknya, persembahan itu menampilkan kolaboratif Search yang diwakili oleh Din (gitar), Kid (gitar), Pae (dram) dan Galang (bassist) bersama penyanyi Akim Ahmad.

Bagaimanapun Nasir selaku gitar bass tidak dapat turut serta dalam persembahan kali ini disebabkan dia sedang sibuk menjalankan perniagaan baharu dan akan menyertai dalam persembahan akan datang.

Din yang mewakili Search berkata, dia berharap peminat akan terus menerima kehadiran dan memberikan sokongan pada setiap persembahan membabitkan Search selepas ini.

Iklan

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya. Kami nak pengakhiran yang baik. Jadi, walaupun tanpa adanya Abang Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini, ke mana saja pergi orang tanya mengenai Search.

“Jadi persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini bagi mengubat rindu peminat.

Iklan

“Persembahan ini sangat penting, kerana ia permulaan buat Search kembali. Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa Abang Amy dan Nasir.

“Bagi saya, Abang Amy tak ada ganti. Cuma, saya perlu move on untuk teruskan legasi Search. Sebab peminat masih ada dan saya yakin dengan sokongan diberikan selama ini,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata pemilihan dibuat bersama pasukan produksi.

“Kami terlebih dahulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek. Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang.

“Cuma kalau ditanya secara peribadi, pilihan pertama saya adalah Akim. Bagi saya, dia ada karisma tersendiri selain kredibiliti dimiliki yang mana dia boleh buat lagu. Cuma, jangan  bandingkan dengan Amy,” katanya.

Sementara itu, Akim berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan bersama band legenda itu.

“Saya terharu dan teruja apabila dipilih untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini. Diakui, Search memang idola saya dari dahulu lagi. Apabila dapat menyanyi dan buat persembahan bersama, ia satu penghargaan buat saya.

“Insya-ALLAH, saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search jangan lupa saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan ada buat kami,” katanya.

Lokasi persembahan itu boleh memuatkan 100 penonton berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi meet & greet pada 10 April, jam 5.30 petang.

Persembahan berdurasi selama sejam itu bakal menyaksikan Search X Akim mempersembahkan lagu popular Search.

Rockology Malaysian Tour 2021 bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur (Jun), Perak (Julai), Penang (Ogos), Johor Bahru (September) dan lain-lain lokasi yang akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Iklan

About Aqmar Mustaza

 
Iklan