PELAKON Wan Sharmila menerima kejutan istimewa daripada Syazwan Zulkifli apabila menerima hadiah berupa sebentuk cincin ketika sesi live di laman Instagram beberapa hari lalu.

Hadiah tersebut tentunya menarik perhatian peminat mereka, sekali gus menguatkan lagi gosip yang mengatakan pasangan pelakon itu mempunyai hubungan istimewa.

Menerusi sesi live tersebut, Wan Sharmila, 39, bagaimanapun mempersoalkan tindakan Syazwan, 33, berbuat demikian kononnya atas alasan ingin memohon maaf.

“Awak mintak maaf dan bagi cincin. Cincin ini sebenarnya untuk orang kahwin. Kita kawan tau, bukan kahwin,” ujarnya.

Bagaimanapun reaksinya itu terus dijadikan bahan usikan peminat yang rata-ratanya mahukan dia memberikan peluang kepada Syazwan dan mendoakan agar mereka bersama suatu hari nanti.

“Ramai sangat puji si Kepeng (Syazwan) ni. Banyak sangat notifikasi masuk ni!

“Sweet bersemut Kepeng ni. Ramai wanita mesti suka, lelaki pun suka. Bagus Kepeng ni, dahlah sweet, pandai buat surprise.

“Yang penting pandai pilih cincin @leleecincincouple. Cincin tu cantik, kotak dia pun cantik. Bila pakai cincin tu, rasa macam puteri,” ujar Wan Sharmila.

Hubungan Wan Sharmila dan Syazwan mula diperkatakan ramai apabila kedua-duanya memperlihatkan keserasian dalam drama bersiri popular, 7 Hari Mencintaiku 2.

Ditambah lagi dengan tindakan Syazwan yang sering melayani usikan para peminatnya dengan membalas komen yang diberikan seolah-olah menyokong apa yang diperkatakan mereka.

Iklan

Bagaimanapun, Wan Sharmila dilihat memberi reaksi yang sebaliknya setiap kali berdepan usikan peminat mahupun Syazwan.

Iklan

“Wanita-wanita semua, siapa suka Kepeng yang sweet ni angkat tangan! Kepeng kata dia single lagi tu.

“Bakal suami awak semua ni. Ada borang perlu diisi. Boleh pergi ke counter 1. Cepat wanita-wanita semua,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Wan Sharmila)