"Kita tidak tahu apa yang akan terjadi selepas pembedahan nanti" - Zamani mahu terus hiburkan peminat
PENYANYI Zamani Slam terharu apabila ramai peminat yang sentiasa mengambil berat dan mendoakan yang terbaik untuk kesihatannya.
Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan buat mereka, Zamani, 52, bakal mengadakan sebuah konsert istimewa, Konsert Doa Buat Zamani Unplugged yang akan berlangsung pada jam 8.30 malam, 30 September ini di Zepp Kuala Lumpur.
Menurut Zamani, konsert tersebut amat bermakna buat dirinya yang berhasrat untuk bertemu dan berkumpul dengan para peminatnya sebelum menjalani pembedahan yang dijangka akan dibuat pada November depan.
“Saya memang sangat mengharapkan peminat setia yang sentiasa bagi sokongan kepada saya selama ini dapat hadir. Bukan soal keuntungan atau apa, tetapi memang niat saya untuk mengumpulkan mereka pada malam itu.
“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi selepas pembedahan saya nanti. Saya mendoakan semuanya berjalan dengan baik, tetapi apa kemungkinannya saya sendiri tidak pasti.
“Jadi sebelum melakukan pembedahan itu, saya ingin sangat berjumpa dengan peminat. Kalau selepas ini tak boleh menyanyi lagi, sekurang-kurangnya saya rasa puas hati,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert tersebut di pada Rabu.
Zamani menderita penyakit skoliosis sejak 2015 sehingga menyebabkan perubahan pada fizikal badannya yang kini semakin membengkok. Terkini tulang belakang penyanyi yang Syair Si Pari Pari juga mula mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung.
Jelas Zamani, pembedahan tersebut merupakan pilihan terakhir yang diambilnya dan berharap agar semua perancangan tersebut berjalan dengan lancar dan kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala.
“Buat masa ini saya terpaksa makan ubat tahan sakit. Keadaan saya sekarang terpaksa tahan sakit selama 24 jam. Dulu tak sakit setiap masa, tetapi sekarang disebabkan tulang belakang dah cucuk tulang rusuk, memang kena tahanlah.
“Saya sebenarnya ada perasaan takut dan berdebar nak jalani pembedahan itu nanti, tapi doktor kata insya-ALLAH peluang untuk kembali sembuh sangat besar dan risikonya rendah," katanya.
Mengulas tentang konsert tersebut, jelas Zamani, memandang ia merupakan konsert solo, persembahannya pada malam itu tidak akan diringi kumpulan Slam, sebaliknya pemuzik jemputan.
“Pada konsert tersebut saya akan menyanyikan enam buah lagu yang dipetik daripada album solo sebelum ini. Persembahan ini secara santai sahaja untuk bersama-sama peminat.
“Mereka beli tiket dan memberi sumbangan kepada dana, saya pula dapat membuat persembahan untuk mereka,” katanya.
Selain Zamani, konsert terbitan Indera Entertainment itu juga menampilkan Datuk Ramli Sarip, Fauziah Latiff dan Rahim Maarof serta penampilan istimewa Datuk Aznil Hj Nawawi.
Tiket konsert dijual dengan harga RM238, RM288, RM388 dan RM488 (Meet & Greet) dan boleh dibeli menerusi laman sesawang www.myticket.asia atau menerusi talian 03-8605 0198 atau 019-7860 144.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang