Liza Hanim teruja, kembali ke pentas AJL selepas 20 tahun
SETELAH dua dekad tidak beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Liza Hanim teruja kembali tersenarai sebagai salah seorang finalis anugerah muzik berprestij tanah air yang akan berlangsung pada 12 Februari tahun hadapan.
Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abd Halim, 43, menempah tiket menerusi lagu duet bersama Shila Amzah, Bahagiakan Dia, sebuah karya ciptaan Aliff Iskandar dan lirik oleh Que Afiq.
Penyanyi bersuara gemersik itu meluahkan rasa syukur masih diterima ramai, biarpun perlu bersaing dengan artis generasi baharu.
“Alhamdulillah memang bersyukur sangat lagu ini berjaya dibawa ke AJL37, sekali gus membawanya ke satu tahap lebih tinggi lagi. Rezeki kami bersama.
“Dalam masa sama saya juga teruja kerana dapat kembali beraksi di pentas berprestij ini setelah kali terakhir layak pada tahun 2002 menerusi lagu Gelisah Mimpi.
“Ketika itu saya belum berkahwin dan kini selepas 20 tahun saya kembali. Perasaan teruja yang sukar untuk digambarkan,” ujarnya yang ditemui ketika acara Separuh Akhir Muzik Muzik baru-baru ini.
Mengulas tentang kelebihan lagu Bahagiakan Dia, Liza menyifatkannya sebagai sebuah karya indah dengan gabungan unik antara penyanyi berpengalaman sepertinya bersama komposer generasi baharu.
“Pertama kali ketika mendengar lagu ini, saya dapat merasakan ia sebuah karya yang sangat indah dan terus terdetik kalaulah ia dapat dibawa ke AJL.
“Berduet pula dengan penyanyi seperti Shila yang saya percaya akan menjadikan lagu ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq ini menjadi lebih menarik.
“Kerjasama ini sangat unik kerana ia menggabungkan orang lama dan baharu dalam satu karya. Satu gandingan yang sangat positif dan saya kira baik untuk industri,” kata ibu kepada lima anak itu lagi.
Saingan
Dalam pada itu, kemunculan Liza yang juga merupakan pemenang pertama kategori Vokal Terbaik AJL turut menarik perhatian penyanyi-penyanyi muda yang melihat dirinya sebagai saingan terdekat untuk kategori terbabit.
“Semua orang ada kekuatan dan bakat masing-masing, tidak kiralah dia sudah lama atau masih baharu dalam industri.
“Saya bangga dan menghormati bakat-bakat muda yang ada, malah berbesar hati dapat bersama mereka meriahkan industri.
“Kalau tengok pada barisan finalis AJL37 ini, memang generasi muda yang mendominasi dan hanya saya yang agak senior di situ,” katanya.
Bagaimanapun bekas naib juara Gegar Vaganza musim keempat itu tetap menjanjikan persembahan terbaik buat semua peminat yang masih setia menyokongnya.
“Dalam apa-apa pertandingan, pendekatan saya tetap sama iaitu buat sehabis baik. Saya tidak mahu letakkan harapan tinggi kerana enggan membebankan diri sendiri.
“AJL zaman Gelisah Mimpi dan AJL sekarang sangat berbeza. Semua persembahan yang ditampilkan sangat mega dan saya juga perlu lakukan perkara sama,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang