Mei Fen sahut cabaran, Prebet Sapu beri energi baharu
CINTANYA pada dunia seni, terutamanya lakonan sangat besar. Sebesar impiannya mencurahkan bakti pada industri menerusi karya-karya hebat yang mampu menyatukan masyarakat tidak kira latar belakang dan kaum.
Itu yang sering dituturkan bintang utama filem Prebet Sapu, Lim Mei Fen atau lebih dikenali sebagai Mei Fen, 35, setiap kali berkongsi tentang misinya untuk terus bertahan dalam industri.
Bagaimanapun, perjalanannya menempatkan diri dalam industri seni tidak mudah dan berdepan pelbagai cabaran yang seringkali membuatkan beliau hampir berputus asa.
“Selepas membintangi teater Takhta 3 Ratu arahan Erma Fatima di Istana Budaya beberapa tahun lalu, cinta kepada dunia lakonan semakin besar dan saya tekad menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang teater.
“Pengalaman di Aswara banyak mengubah persepsi saya terhadap banyak perkara sehingga timbul keinginan dalam diri untuk turut sama berjuang bersama penggiat seni sedia ada bagi membangunkan industri dengan karya-karya yang ada jiwa.
“Namun ia tidak semudah seperti yang disangka kerana saya berdepan dengan pelbagai cabaran yang menguji diri termasuk peluang terhad untuk pelakon bukan Melayu seperti saya,” jelasnya.
Mengakui pernah beberapa kali hampir berputus asa dan berhasrat meninggalkan dunia seni, anak kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun sering mendapat semangat baharu untuk bertahan dan meneruskan misinya.
“Saya sendiri tidak faham kenapa setiap kali terfikir untuk berhenti dan beralih arah, akan hadir peluang dan harapan baharu yang membuatkan saya terus terikat.
“Perkara sama juga berlaku sebelum saya terlibat dengan pembikinan filem Prebet Sapu, di mana saya merasakan mungkin sudah tiba masa berhenti berlakon dan mencuba sesuatu yang lain.
“Namun filem ini seakan menghalang saya berbuat demikian menerusi mesej-mesej dan isi cerita yang disampaikan. Sebuah karya yang jujur dan berjaya menjentik hati saya untuk meminjam semangat daripada filem ini untuk terus bertahan,” katanya mengakui begitu dekat dengan watak Bella yang dijayakan dalam filem itu.
Tambah jumlah pengikut di media sosial
Menurut Mei Fen lagi, semangatnya berganda apabila filem arahan Muzzamer Rahman yang menyaksikan gandingannya bersama aktor hebat Amerul Affendi itu terpilih mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) pada Mac ini, bagi kategori Best International Feature.
Prebet Sapu mula ditayangkan kepada umum pada 16 Disember lalu, kini masih bertahan di pawagam dan memasuki minggu keempat tayangan.
“Saya tidak pernah menyangka filem kecil seperti ini berjaya mendapat perhatian ramai orang, meskipun kami terpaksa bersaing dengan tayangan filem Spider-Man: No Way Home, selain berdepan bencana banjir baru-baru ini.
“Terharu apabila penonton hangat memperkatakan tentang Prebet Sapu di media sosial dan mewujudkan perbincangan terbuka menyentuh pelbagai isu yang dipaparkan sehingga trending di laman Twitter,” katanya.
Sempena tahun baharu 2022, Mei Fen yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang Pengedaran dan Pemasaran Filem (peringkat Sarjana) di Beijing Film Academy, China, mahu merencanakan kembali kerjaya seninya dengan lebih baik dan memperbaiki segala kekurangan yang ada.
“Saya terharu apabila semakin ramai yang melihat bakat saya selepas penampilan dalam Prebet Sapu. Malah saya juga didatangi dengan beberapa tawaran baharu termasuk sebuah drama bersiri yang memang sudah lama saya teringin untuk mencuba.
“Bagaimanapun saya sedar pada era ini, pengaruh dan jumlah pengikut di media sosial memainkan peranan penting kepada anak seni untuk mendapatkan peluang mengembangkan bakat mereka.
“Jadi saya harus berani mengambil cabaran itu untuk menjenamakan semula nama dengan menambah jumlah pengikut di media sosial.
"Mengambil kira pengalaman sendiri yang pernah beberapa kali dinafikan peluang kerana kekurangan itu, saya akan cuba dengan sebaiknya untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
(FOTO: Instagram MeiFen)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang