Nad Zainal tak kisah jadi pilihan terakhir
SEJAK minggu lalu, drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah yang cukup terkenal dengan rantaian Nur dan Nur 2, Shahrulezad Mohameddin atau Budak Ijat, hangat diperkatakan di media sosial.
Drama yang menyaksikan gandingan pelakon seperti Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, Alvin Chong, Isaac Iman, Didie Alias, Uchee Fukada, Iman Suhana, Muaz Fitri Maslan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3.
Pastinya, lakonan mantap salah seorang pelakonnya iaitu Nad Zainal menjadi perhatian ramai.
Namun di sebalik lakonan berkesan ditunjukkan Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 31, aktres itu mengakui dia merupakan pilihan pertama yang sepatutnya membintangi drama terbabit.
Bahkan dia pada mulanya tidak yakin untuk menerima tawaran daripada Radius One Sdn Bhd kerana merasakan sudah membawa watak hampir sama dalam drama Hati Yang Tersakiti.
“Benar, saya tahu bukan pilihan pertama dalam drama Takdir Yang Tertulis dan menjadi pilihan terakhir Budak Ijat.
“Apa yang saya tahu ada beberapa nama yang sepatutnya membintangi drama berkenaan seperti Janna Nick, Diana Danielle, tetapi last saya yang masuk.
“Saya juga banyak kali berfikir sebelum membintangi drama ini kerana rasa cerita ini hampir sama dengan drama Hati Yang Tersakiti.
“Saya pun kalau boleh tak mahu bawa watak sama berulang-ulang. Dalam masa yang sama, saya bimbang jadi pilihan terakhir kerana pengarah tentunya sudah ada bayangan macam mana watak ini akan dibawakan.
“Jadi saya cuma harap mereka yakin dengan saya untuk membawakan watak ini,” jelasnya.
Tambah Nad, dia pada asalnya juga hampir membintangi drama Nur 2 dan membawakan watak Juwita. Namun pada saat akhir, peranan itu bertukar tangan.
Justeru dia percaya, semua ini merupakan percaturan dan rezeki dari ALLAH SWT dan sebagai pelakon, dia hanya mahu memberi lakonan yang terbaik.
“Sebelum ini saya pernah mendapat tawaran daripada Radius One dan ada seorang hamba ALLAH ini dia beritahu saya yang saya akan membawakan watak sebagai seorang pelacur bersama Juwita.
“Mereka pilih saya kerana suka melihat keserasian saya bersama Syafiq Kyle dalam telefilem Syirik. Tetapi itulah percaturan ALLAH SWT, saya tak jadi Juwita yang itu, tetapi dipilih menjadi Juweta yang ini.
“Bagi saya sama ada menjadi pilihan pertama atau terakhir, kita perlu terima kerana itu rezeki yang ditentukan untuk kita.
“Apa yang penting adalah buat yang terbaik dan percaya pada rezeki,” ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang