Pelukan Angkasa buka langkah baharu buat SOG, Shila Amzah
KEMENANGAN lagu Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleen Hishamuddin yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Ahad lalu dilihat sebagai satu pengiktirafan yang cukup istimewa buat pemuzik indie.
Apatah lagi lagu nyanyian kumpulan SOG dan Shila Amzah itu tampil dengan kelainan menarik menerusi kepelbagaian elemen yang berjaya memberikan impak, sekali gus menonjol di pentas berprestij AJL36.
Vokalis SOG yang juga pencipta lagu Pelukan Angkasa, Raja Nazrin Shah berharap kejayaan tersebut dapat memberikan semangat dan inspirasi kepada lebih ramai pemuzik indie lain untuk lebih berani tampil ke depan bersama karya berkualiti.
“Pertama kali beraksi di AJL dan semestinya kami tidak meletakkan sebarang jangkaan untuk menang. Apa ada dalam fikiran hanyalah untuk memberikan yang terbaik dan menunjukkan apa yang kami ada.
“Hampir 20 tahun dalam industri muzik, kami tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini bersama muzik dan karya yang diperjuangkan selama ini.
“Ini kerana perjuangan muzik SOG tidak tertumpu kepada aspek komersial, sebaliknya kami berkarya dengan seikhlas hati dan lebih kepada untuk kepuasan jiwa yang mendengar dan menikmati,” ujarnya.
Selain Raja Nazrin, SOG turut dianggotai oleh Riko Agus, Raja Nazmin Shah, MK Ridzuan, Abdul Qayyum dan Amsyar Saiful.
Pernah tampil dengan empat buat album sebelum ini, SOG melihat pengiktirafan yang diperoleh menerusi AJL36 sebagai bukti keyakinan mereka untuk terus memperjuangkan identiti muzik sendiri.
“Apa yang dipersembahkan dalam lagu Pelukan Angkasa itu adalah apa yang kami ada. Itu adalah representasi SOG.
“Untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan muzik atau hasilkan karya, jadilah diri sendiri dan tidak perlu ikut orang lain.
“Bila ada identiti, sesebuah karya itu akan jadi unik. Apa yang penting, terus percaya diri dan hasilkan karya yang kita mahu,” katanya.
Kejayaan manis
Sementara itu, Shila Amzah meluahkan rasa syukur apabila kolaborasi bersama SOG dan Fazleena Hishamuddin membuahkan kejayaan manis dalam kerjaya nyanyiannya.
“Peluang bekerjasama dengan SOG dan Fazleena sangat bermakna buat saya. Energi yang diperoleh ketika bersama mereka sangat luar biasa sekali gus menjadikan perjalanan kami dengan karya ini menjadi lebih mudah.
“Insya-ALLAH kalau ada rezeki, saya terbuka untuk kembali bekerjasama dengan mereka lagi selepas ini,” katanya.
(FOTO: INSTAGRAM @anbstudio_bobong)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang