KE MANA tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Itu peribahasa yang sesuai menggambarkan tentang bakat yang dimiliki Myra Natasya, anak gadis bekas penyampai radio dan pengacara popular, Halim Othman dalam industri seni.

Bermula daripada penglibatannya sebagai peserta program Dewi Remaja edisi 2019, Myra atau nama penuhnya, Yusmyra Natasya, 27, mula mengorak langkah dengan berjinak-jinak dalam bidang lakonan, seterusnya mengikut jejak bapa tercinta sebagai pengacara.

“Kalau diikutkan pada awalnya, bapa tidak begitu menggalakkan saya menceburi bidang seni kerana tidak mahu saya merentas cabaran dan kesukaran sama yang pernah beliau lalui dalam bidang ini.

“Namun, saya katakan padanya, minat terhadap bidang seni yang ada dalam diri saya mungkin diwarisi sepenuhnya daripada beliau menyebabkan keinginan saya begitu kuat untuk meneroka potensi semula jadi ini.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah cuba menggunakan nama, apatah lagi menumpang popularitinya untuk mendapatkan peluang atau tawaran kerja sepanjang tiga tahun dalam industri,” tegasnya kepada SinarPlus ketika ditemui.

Nama Myra hangat diperkatakan baru-baru ini apabila beliau tampil membuat pendedahan tentang status dirinya sebagai anak kepada bekas pengacara program Roda Impian itu.

Menurut gadis manis yang juga merupakan seorang jurulatih pasukan sorak, niatnya hanya satu, mahu menjalani kehidupan sempurna bersama figura bergelar bapa yang cukup disayangi sejak kecil.

Paling istimewa lagi, pada tahun ini, buat julung kalinya Myra bakal meraikan 1 Syawal bersama Halim di kampung halaman personaliti itu di Kerteh, Terengganu.

“Saya percaya apa yang berlaku kepada saya merupakan takdir yang telah tertulis untuk kami. Segala yang berlaku pasti ada sebabnya.

“Alhamdulillah, setelah 27 tahun menanti, tahun ini buat pertama kalinya saya berpeluang menyambut Aidilfitri bersama bapa. Sesuatu yang telah lama saya nantikan dan betapa gementarnya menantikan saat itu kerana saya tidak pernah merasai momen indah tersebut,” jelasnya.

Paling bermakna

Mengimbau sambutan raya pada tahun-tahun sebelum ini, bekas pengacara Didik TV itu berkata, beliau meraikan Aidilfitri dengan cukup sederhana bersama ibu, Yusnita Omar dan empat adik tirinya.

“Saya bersyukur kerana masih ada keluarga dan dapat beraya bersama mereka. Cuma jauh di sudut hati, saya mahu meraikan lebaran yang bermakna ini dengan bapa.
“Selalunya pada pagi raya, saya hanya mampu memohon maaf dan memberikan ucapan hari raya menerusi panggilan video.

Iklan

“Kemudian, kami akan bertemu selepas dua minggu raya. Pada saat itu, beliau sudah berada ibu kota setelah menyambut Syawal bersama keluarga dan saudara-mara di Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Myra yang bakal tampil dengan program travelog baharu di saluran TV Okey, Hello Sunset dan drama Dilema Sebuah Anugerah, menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibu dan bapanya yang memberikan peluang pada dirinya meraikan Aidilfitri paling bermakna pada tahun ini.

Iklan

“Terima kasih kepada bapa saya sekali lagi kerana akhirnya memberi saya ruang beraya bersamanya. Penghargaan sama ditujukan kepada ibu yang sanggup berkorban perasaan ‘melepaskan’ saya untuk meraikan lebaran bersama keluarga di Terengganu pula.

“Teringat kenangan tahun lalu yang mana saya sangka dapat beraya bersama bapa di Kuala Lumpur, namun larangan merentas negeri secara drastik dikuat kuasakan. Sebenarnya, pelbagai perancangan telah dilakukan pada waktu itu, tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Saya rasa sangat kecewa dan menangis pada pagi raya dek melayan emosi diri. Rupa-rupanya ALLAH mahu berikan sesuatu yang lebih bererti, sekali gus menutup segala lara saya sebelum ini,” akhiri Myra.

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)