SELAIN kejutan lamaran Kamal Adli terhadap Uqasha Senrose, Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) turut menjadi saksi pendamaian antara pengarah, Michael Ang dan penyanyi, Noraniza Idris.

Kedua-dua bintang itu saling bermaaf-maafan ketika siaran langsung dan ketika ditemui di sidang akhbar AME2020 tidak lama kemudian.

Menurut Michael Ang, dia sejak awal lagi tidak mempunyai masalah untuk bertemu Noraniza. Bagaimanapun dia mengakui tidak selesa apabila statusnya sebagai mualaf dipermainkan.

“Saya tak ada masalah untuk bertemu dengan Kak Ani (Noraniza) dan nak minta maaf kepada Kak Ani, mungkin cara saya kasar dan kelihatan agak personal.

“Tetapi apabila saya meluahkan pendapat di Twitter, ia adalah luahan jujur sebagai seorang peminat program realiti dan bukannya sebagai rakan seindustri.

“Saya rasa saya tak akan berhenti berkongsi pendapat jujur itu pada masa akan datang,” ujarnya.

Michael dan Noraniza memberitahu merea tidak berdendam dan saling memaafkan antara satu sama lain.

Sementara itu, Noraniza menjelaskan, dia bukan berhasrat bertemu Michael untuk bergaduh, namun hanya untuk mengenali pengarah dan pengacara itu dengan lebih dekat.

Jadi sebab itu rasa nak jumpa Michael Ang, bagi pihak peminat minta maaf secara terbuka kepada Mike. Dah cakap sendiri pada mereka, jangan sentuh isu rasis dan sebagaimana. Tak bagus sebab kita tak dididik begitu

“Saya nak jumpa Mike (Michael) sebab nak lihat orangnya bagaimana. Ada orang kita tengok dia lantang berkata-kata tapi hatinya tidak begitu seperti Azwan Ali.

“Bila saya jumpa Mike, ternyata orangnya baik.  Jadi saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Michael atas segala apa yang berlaku sebelum ini.

“Saya juga sudah menegur peminat saya mengenai perkara ini dan pastikan mereka  mengawal tutur kata serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sensitif seperti isu rasis,” jelasnya.

Terdahulu, pada peringkat separuh akhir minggu lepas, Michael dilihat lantang memberikan komen persembahan peserta Gegar Vaganza ketujuh menerusi Twitter.

Nama Noraniza antara penyanyi yang sering mendapat kritikan pedas dan negatif daripada pengarah itu.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan pengarah itu selepas tamat program berkenaan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang pengguna Facebook menyentuh isu status mualaf Michael dan mempersoalkan tujuan utamanya masuk Islam kerana ingin mendapatkan simpati dan populariti.