"Persiapan kahwin dalam jangka masa 24 jam" - Noryn Aziz
Oleh: Aqmar Mustaza
PENYANYI Noryn Aziz kembali bergelar isteri kepada seorang usahawan korporat, Shaik Rizal Shaik Sulaiman, 48, malam tadi.
Menurut Noryn atau nama penuhnya Norazmahwati Abdul Aziz, 44, mereka sepatutnya bernikah pada 25 Oktober ini, namun terpaksa dipercepatkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi negeri-negeri di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di kediaman suaminya di Bukit Damansara hanya dihadiri 30 tetamu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Dengan izinNya, saya dan suami selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang diadakan dalam suasana yang sangat sederhana dengan bermaskahwin sebentuk cincin kepada saya.“Kami pada awalnya ingin melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Oktober ini. Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, majlis tersebut akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal.
“Ini kerana kami berhasrat untuk hari bahagia mereka dihadiri oleh kaum keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kami.
“Segala persiapan dapat dilaksanakan dengan baiknya dalam jangkamasa 24 jam dengan pertolongan padu kaum keluarga terdekat, sahabat handai serta ‘team’ saya semuanya.
“Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Artikel berkaitan: Patutlah berseri di Gegar Vaganza, Noryn Aziz sah bergelar isteri usahawan
Berkongsi detik perkenalan dengan suaminya, Noryn berkata, mereka mula berkenalan pada penghujung 2019 sebagai kawan kenalan perniagaan. Namun hubungan itu mula serius pada pertengahan tahun ini dan akhirnya membawa mereka ke alam rumah tangga.
Katanya, kehadiran Rizal amat menyenangkan dirinya dan keluarga, membuatkan dia selesa untuk membawa perhubungan mereka ke fasa yang lebih serius.
“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih.“Hubungan kami benar-benar secara profesional namun suami saya banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat.
“Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan bisnes saya,” ujarnya.
Tambah juara Gegar Vaganza musim kelima itu, pada usia mereka kini, tiada apa lagi yang diharapkan selain perhubungan mereka dirahmati oleh Allah SWT dan rumah tangga berkekalan sehingga ke akhir hayat
“Bagi saya adalah penting persahabatan cinta kita harus dihalalkan secara betul kerana ini bukan main-main buat saya dan suami. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan hajat kami ini.
“Saya gembira kerana keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat bersama-sama kami dalam majlis itu, Ia amat memberi makna buat kami,” katanya.
Noryn sebelum ini pernah berkahwin dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2010 namun disahkan bercerai pada 2018.
Hasil perkahwinan terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan genre muzik jazz itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia enam tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang