Ramadan berbeza buat Nuha Bahrin

A
A
A

“Ramadan yang berbeza.” Demikian tutur bintang muda sedang meningkat naik, Nuha Bahrin yang menyifatkan rutin berbeza dilalui dalam jadual hariannya kini setelah namanya semakin dikenali ramai.

Populariti pemilik nama sebenar Nuha Sakinah Saiful Bahrin itu mula meledak apabila single duetnya bersama Naufal Azrin berjudul Casablanca mendapat sambutan luar biasa sehingga tular di laman media sosial.

Mempunyai personaliti yang lemah lembut dan sopan tutur kata, penyanyi berasal dari Rawang, Selangor itu mengakui teruja meraikan Ramadan kali ini.

“Sebelum ini rutin Ramadan saya hanya melingkungi keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja. Apatah lagi saya masih bergelar pelajar dan aktiviti saya terhad sekitar itu sahaja.

“Kini selepas aktif dalam industri dan nama mula dikenali, ia jadi sangat berbeza. Malah membuka ruang kepada saya terlibat dengan banyak aktiviti sempena Ramadan,” ujarnya kepada SinarPlus.

Rutin berubah

Ditemui pada majlis berbuka puasa Universal Music Bersama Anak Tahfiz dari Pusat Tahfiz Darus Syabab baru-baru ini, gadis manis berusia 23 tahun itu berkata, sepanjang Ramadan kali ini juga, jadual hariannya agak padat dengan undangan berbuka puasa.

Nuha (depan) bersama barisan artis ketika majlis berbuka puasa Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Pengalaman baharu buatnya yang selama ini hanya menjalani rutin biasa, berbuka puasa bersama keluarga di rumah.

“Saya akui seronok dengan pengalaman ini di mana saya berpeluang untuk bersama lebih ramai orang dan meraikan golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai undangan majis berbuka puasa.

“Begitu juga dengan acara-acara amal yang tentunya memberi pengalaman baharu yang sukar untuk saya diungkapkan,” ungkap beliau.

Dalam pada itu, graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pemasaran Universiti Multimedia itu turut berkongsi sibuk membuat persiapan single duet terbaharu yang dijangka rilis selepas Aidilfitri nanti.

Gandingan bersama rakan duetnya itu semakin menunjukkan keserasian, malah diterima baik peminat.

“Sempena Ramadan ini, kami baru sahaja tampil dengan lagu berjudul Iktiraf dan insya-ALLAH selepas raya nanti akan ada single baharu dilancarkan.

“Saya tak nafikan ramai yang mula meletakkan jangkaan tinggi terhadap kami selepas kejayaan lagu Casablanca, tapi apa yang boleh saya katakan, semuanya terletak pada rezeki.

“Kami cuba buat yang terbaik, sentiasa ikhlas menghasilkan karya dan bukan semata-mata untuk tujuan tular. Kalau lagu itu diterima baik, alhamdulillah, tetapi jika sebaliknya kita boleh cuba lagi dengan karya lain,” tegas beliau.

Single solo

Ditanya adakah gandingan bersama rakan duetnya itu akan dikekalkan dalam tempoh yang panjang, Nuha yang pernah bergelar peserta Vokal Mania itu menyerahkan segalanya pada keadaan.

Nuha tampil dengan single baharu bersama Naufal, Iktiraf.

Kata beliau, tiada halangan jika masing-masing ada perancangan lain untuk tampil dengan karya secara solo. Apa yang pasti mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain.

“Buat masa ini, kami teruskan sahaja dengan projek sedia ada. Kalau ada lagu yang sesuai untuk kolaborasi, kita buat sahaja. Saya dan Naufal ada target sendiri dalam kerjaya masing-masing dan tentunya kami juga mahu hasilkan single solo sendiri.

“Untuk saya, insya-ALLAH mungkin pada tahun ini. Kalau boleh mahu cuba genre yang berbeza daripada karya duet. Bagaimanapun ia belum diputuskan lagi,” tuturnya.

Berkongsi tentang popularitinya yang kini turut mendapat perhatian peminat di Indonesia selepas tampil dengan rakaman semula lagu Jika, nyanyian asal penyanyi dan komposer tersohor, Melly Goeslaw, Nuha akui teruja.

“Saya anggap ia sebagai rezeki, malah sangat berterima kasih kepada Melly kerana memberikan peluang ini kepada saya dan Naufal. Beliau banyak membantu dan memberikan sokongan pada kami, malah ia antara sebab lagu Jika versi baharu itu mendapat perhatian.

“Jujurnya, saya banyak belajar daripada sikap merendah diri yang ditunjukkan Melly. Bagi saya, dia adalah antara idola yang harus dicontohi penyanyi generasi muda seperti kami,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca