Reda pemergian bekas suami, Didie iringi jenazah hingga ke liang lahad
SELEBRITI versatil, Didie Alias, meluahkan rasa syukur dapat menguruskan dan mengiringi jenazah bekas suami, Allahyarham Ridzuan Hashim, 62, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Khamis hingga ke liang lahad.
Biarpun sudah 20 tahun berpisah dan menjalani kehidupan masing-masing, Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah binti Mohd @ Ali tetap berasa tangggungjawab untuk mengiringi perjalanan akhir arwah Ridzuan.
“Saya rasa ini tanggungjawab. Walaupun dia adalah bekas suami, tapi saya tahu dia tak sihat dan dia juga adalah ayah kepada anak-anak saya.
”Syukur saya dapat dapat selesaikan (urusan pengebumian). Perjalanannya diatur dengan sangat baik. Daripada nafasnya yang terakhir sampailah kat liang lahad ini.
“Semua anak-anak ada dengan saya. Ini semua aturan Allah. Secara ikhlasnya saya memang reda dengan pemergiannya,” katanya.
Tidak menyimpan dendam atas apa yang pernah antara mereka sebelum ini, Didie mengakui sudah lama memaafkan bekas suaminya itu.
“Saya dah lama maafkan dia dan saya dah halalkan makan minum dia. Saya tengok dia pergi dengan tenang, alhamdulillah,” ungkapnya.
Tiada tanda
Dalam pada itu, Didie berkata, Allahyarham sudah tiga tahun menghidap penyakit jantung. Namun ia hanya diketahui keluarga dan kenalan terdekat sahaja kerana bekas suaminya itu bimbang kehilangan tawaran kerja jika penyakitnya diketahui umum.
“Arwah tidak dapat menerima yang dia sakit dan agak tertekan apabila tidak boleh aktif sangat kerana keadaan jantungnya. Sedangkan dia seorang yang hyper dan happy go lucky. Di set pengganbaran, kerja dia menyakat orang saja.
“Jadi dia tak nak bagitahu tentang penyakitnya. Hanya orang tertentu sahaja tahu dia sakit jantung. Dia kata takut kalau beritahu tentang penyakitnya, nanti tak ada tawaran kerja,” kongsinya lagi.
Biarpun begitu, Didie meminta anak-anaknya untuk sama-sama menjaga bapa mereka. Malah anak lelakinya, Muhammad Dhanial juga tiga bersama Allahyarham sejak mengetahui bapanya sakit.
“Saya dan anak-anak sepakat untuk sama-sama jaga dia. Alhamdulillah dapatlah kami menjaga dia selama tiga tahun. Namun dia pergi tanpa bagi apa-apa signal pada kami. Tak ada tanda-tanda pun dia nak pergi.
“Apa-apa pun saya bersyukur suami saya sekarang sangat-sangat faham dan boleh terima bekas suami saya jadi keluarga sekali.
”Begitu juga dengan keluarga mertua dan keluarga saya yang boleh terima dia walaupun dia bekas suami. Semua terima untuk menjaga dia dalam keadaan dia sakit,” katanya sebak.
Allahyarham Ridzuan yang terkenal dengan watak King dalam filem KL Gangster itu rebah ketika sedang bersarapan di rumahnya dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, sekitar jam 8.30 malam hari yang sama.
Didie dan Ridzuan mendirikan rumah tangga pada 1991 dan bercerai 2002. Mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dania, Nur Diyana dan Nur Dayani.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang