(Review) Kerana Korona papar tiga cerita berkaitan, sarat mesej

A
A
A

ASTRO Shaw meneruskan peranannya dalam membawakan konten baru dan berkualiti bagi memberikan kepuasan kepada penonton serta merancakkan lagi industri filem tempatan meskipun pada waktu yang mencabar ini.

Terbaharu, syarikat penerbitan filem itu tampil dengan sebuah filem yang diinspirasikan daripada latar sebenar iaitu semasa Malaysia dalam situasi pandemik Covid-19 atau lebih tepat lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Filem Kerana Korona mempersembahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian dengan satu harapan.

Sudah menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First mulai 21 Januari lalu, ia merupakan filem di bawah arahan pengarah yang tidak asing lagi, Kabir Bhatia.

Apa yang menarik menerusi Kerana Korona, ia akan membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik PKP.

Tidak hanya memaparkan realiti kehidupan di bandar, Khabir turut menyelitkan dua sisi berbeza di kampung dalam menghadapi virus Covid-19.

Sarat dengan emosi, setiap babak telah dijayakan dengan begitu baik oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Idan Aedan, Umar Shakur dan Anwaar Beg Moghal.

Secara ringkasnya, filem ini tampil dengan tiga kisah yang mempunyai pertalian di mana Zati tidak bahagia bersama Razman.

Meskipun suaminya sentiasa berada di rumah, namun mereka semakin menjauh. Manakala, anak mereka Harun yang mempunyai cita-cita sebagai jurufoto, namun impiannya dipandang rendah oleh Zati dan Razman.

Bosan kerana melihat ibu bapanya sering bertengkar, Harun mula keluar secara sembunyi ketika PKP bersama Maya. Manakala, adiknya Bob berusaha menyediakan aktiviti di rumah untuk Zati dan Razman agar mereka berbaik.

Kisah kedua menyaksikan tentang seorang doktor bernama Janna yang berdepan dengan dilema tanggungjawab dan pendirian. Manakala, kisah ketiga mengenai warga emas, Leman yang keras kepala dan abaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga merisaukan jirannya Leila. Sementara itu, Leila hidup kesunyian dan tidak berhubung dengan anaknya, Razman.

Ini juga merupakan gandingan semula Rita Rudaini dan Rashidi Ishak sebagai pasangan suami isteri selepas filem Cinta (2006).

Jalan cerita santai

Perjalanan keseluruhan filem ini santai dan sesuai untuk ditonton seisi keluarga. Tidak hanya mempertaruhkan sebuah cerita untuk hiburan semata-mata, Kerana Korona juga sarat dengan mesej yang boleh diteladani bersama.

Permasalahan yang ditimbulkan dalam Kerana Korona adalah permasalahan yang pernah dikongsikan di sosial media atau media arus perdana sepanjang tempoh PKP yang lalu.

Bahkan dia juga sesuai dengan latar masa seluruh Malaysia yang sedang mengharungi PKP 2.0 pada masa kini.

Antara babak di dalam Kerana Korona.

Biarpun diselitkan tiga kisah, namun setiap kisah dan watak itu sebenarnya mempunyai kaitan antara satu sama lain dan pastinya tidak akan membuatkan penonton keliru.

Ditambah pula dengan lakonan mantap para pelakonnya, ia tidak akan membuatkan filem ini terlalu bosan untuk ditonton.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui keseluruhan filem Kerana Korona langgani filem ini di saluran 480.

Ummi tampil cemerlang sebagai Doktor Jannah.

Anda juga boleh strim Kerana Korona di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca