Rossa bukti masih utuh

ROSSA
ROSSA
A
A
A

MELEWATI lebih 25 tahun perjalanan kariernya sebagai insan seni tidak pernah sesekali melelahkan penghibur kebanggaan Indonesia dan Malaysia, Datuk Seri Rossa.

Semangatnya sentiasa utuh untuk terus berkongsi kecintaanya terhadap muzik dengan penggemar yang setia bersamanya sejak mula menapak pada 1999.

Justeru Rossa atau nama lengkapnya Sri Rossa Roslaina Handiyani menghadiahkan buah tangan terbaharu, sebuah album diberi judul Another Journey: The Beginning.

Album yang muncul selepas enam tahun itu berkisar perjalanan dilaluinya sepanjang pandemik Covid-19.

"Selama pandemik, banyak hal terjadi sekali gus mengubah perjalanan hidup manusia di seluruh dunia. Kita terpaksa berjauhan dengan insan yang kita sayangi dan berusaha bertahan.

"Album ini menterjemahkan perjalanan emosi dan naik turun kehidupan saya sebagai manusia sepanjang tempoh menguji itu menerusi 10 lagu.

“Saya bersyukur walaupun album fizikal tak lagi menjadi pilihan pencinta muzik, ia tetap terjual sebanyak 300,000 unit dalam tempoh tiga bulan,” ungkap penyanyi lagu Tegar itu.

Menerusi Another Journey: The Beginning, wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat itu bergandingan dengan nama besar dalam industri muzik Indonesia seperti Yovie Widianto, Enda Ungu, Melly Goeslaw dan Rian D'Masiv.

Lebih istimewa, buat kali pertama sepanjang 25 tahun berkarya, Rossa mengundang bakat muda berpotensi besar dalam industri muzik Indonesia untuk bekerjasama dalam pembikinan album tersebut.

Mereka terdiri daripada Andmesh, Mahalini dan Barsena Bestandhi.

"Saya sangat mengagumi kreativiti dan idea bakat baharu yang sedang mencipta fenomena tersendiri itu," ujarnya.

Kembali ke KL

Lebih bermakna kata Rossa, kehadiran album baharu itu juga membawanya kembali ke Kuala Lumpur untuk bersama 'Pecinta Rossa' menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Julai depan.

Rossa yang ditemui sempena majlis pelancaran album dan rangka promosi konsert Another Journey: The Beginning di The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini turut meluahkan rasa terharu apabila tiket konsert yang pada mulanya dijadualkan hanya pada 14 Julai habis terjual dalam masa 24 jam.

Lantas, untuk tidak menghampakan permintaan peminat, diva tersohor Indonesia itu bersedia menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai.

Tidak bersendirian, konsert itu nanti menyaksikan Rossa bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian dan Betrand Putra Onsu pada 13 Julai, manakala Mahalini Raharja serta bakat baharu dari Malaysia, Zareef Sein pada 14 Julai.

"Pada awalnya kami merancang untuk adakan konsert pada 14 Julai, tetapi disebabkan tiket habis dalam masa 24 jam, maka secara spontan penganjur cadangkan untuk tambah satu hari lagi.

"Saya akan cuba dapatkan istirehat secukupnya bagi memastikan peminat yang hadir, terhibur pada konsert itu nanti," ujarnya.

Konsert Rossa - Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih sukses luar biasa menerusi konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 pada Dream Festival Collaboration Vol. 2.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca