SETELAH seminggu berdiam diri ekoran insiden menangis di pentas selepas menerima komen pedas daripada Mas Idayu di pentas Famili Duo minggu lalu, penyanyi Sissy Iman tampil menjelaskan situsi sebenar dirinya.

Penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Mungkin Kamu itu menegaskan tiada isu antara dia dan juri tetap program terbabit. Sebaliknya tangisan yang mencetuskan kontroversi itu hanyalah ekspresi kekecewaan dirinya sendiri yang gagal memberikan persembahan terbaik menerusi lagu Jampi dalam versi keroncong itu.

“Saya menangis ketika itu kerana kecewa dengan diri sendiri. Ia lebih kepada perasaan bersalah apabila persembahan saya pada malam itu tidak begitu menjadi, sedangkan Naim sudah melakukannya dengan baik.

“Kalau tentang komen juri, saya sebenarnya tak ada masalah pun,” jelasnya kepada media selepas persembahan minggu separuh akhir program Famili Duo di Plaza Alam Sentral pada Ahad.

Tidak jawab panggilan

Begitu pun insiden berkenaan mendapat reaksi yang pelbagai daripada banyak pihak termasuk ada sesetengahnya mengecam dan mempertikaikan kedudukan Mas Idayu selaku juri tetap.

Ditanya adakah dia ada menghubungi juri tersebut untuk memohon maaf atau menjernihkan keadaan tersebut, Sissy berkata, buat masa ini dia hanya menumpukan kepada persiapan untuk persembahan sahaja.

“Sepanjang minggu setelah berlaku insiden itu, saya memang tidak menjawab sebarang panggilan atau membuat panggilan kepada sesiapa. Malah saya juga tidak membaca mesej di mana-mana platform.

“Saya hanya menjawab panggilan dan mesej daripada Naim sahaja untuk bincang tentang persembahan, itupun pada awalnya dia juga saya tidak pedulikan. Penerimaan orang terhadap situasi seperti ini lain-lain, begitu juga dengan saya yang perlukan sedikit masa untuk proses semua ini.

“Kita tengok dulu macam mana (hubungi Mas Idayu). Sekarang saya nak fokus persiapan untuk persembahan dulu,” katanya.

Iklan

Tidak mahu dibelenggu hal-hal negatif susulan kontroversi tersebut, Sissy mengakui berehat seketika daripada aktif di media sosial dan tidak membaca komen mahupun mesej peribadi di platform terbabit.

“Selepas meluahkan apa yang saya mahu sampaikan di Instagram, saya terus tutup aplikasi tersebut.

“Saya tidak mahu apa yang berlaku itu berpanjangan dan menganggu kesihatan mental,” tegasnya.

Iklan

Sissy dan Naim mara ke pentas final Famili Duo bersama tiga lagi pasangan lain iaitu Ayda & Fyna Jebat, Zaki Yamani & Yamani Abdillah serta Bella Astilah & Wani Kayrie, sekali gus merebut gelaran juara dan hadiah wang tunai RM10,000 pada Ahad depan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.