PENGLIBATAN gadis berusia 21 tahun ini dalam industri seni sudah bermula sejak sedekad lalu setelah menjuarai program pertandingan nyanyian Kamilah Bintang.

Namun kehadirannya bagai belum menjadi perhatian sepenuhnya. Tidak sesekali berputus asa dengan situasi itu, Syazwani Abdullah atau lebih terkenal dengan nama pentasnya Wani Kayrie terus mengatur strategi.

Terbaru, anak kelahiran Sandakan, Sabah itu tampil dengan single pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment berjudul Jangan Terlepas Pandang hasil ciptaan MFMF dan Asyraf Nasir.

Wani yang pernah mengharumkan nama negara sewaktu bertanding di World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada tahun 2012 di Hollywood, California, Amerika Syarikat dengan memenangi satu pingat emas, dua perak, satu gangsa serta Hollywood Industry Award, mengakui dia seorang penyanyi kental dan tidak kenal erti kalah.

“Akhirnya penantian menghasilkan single bersama Rocketfuel tercapai jua. Syukur dan terima kasih kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sekali gus tampil dengan lagu baharu.

“Mungkin masih ramai di luar sana yang kurang mengenali nama Wani Kayrie, namun sebagai anak seni itu sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.

“Jangan Terlepas Pandang adalah suara hati saya. Setelah lebih dari 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tanah air, saya lebih matang dalam berpendirian.

“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih lagi berharap untuk menjadi bintang utama dan tak dilepas pandang,” katanya.

Iklan

Single bergenre pop dansa ini adalah gabungan idea kreatif di antara MFMF dan juga Asyraf Nasir yang mahukan kelainan buat Wani agar keluar dari zon selesa dan tampil berbeza.

Berkongsi tentang proses rakaman lagu itu, Wani berkata, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rakaman yang sepatutnya dijalankan di studio MFMF.

“Segala proses gubahan lagu dan rakaman dilakukan secara dalam talian serta menjadi satu pengalaman baharu buat saya.

Iklan

“Apa pun saya berharap agar single Jangan Terlepas Pandang ini dapat diterima ramai. Buat sesiapa yang mendengarnya, percayalah dengan kebolehan diri sendiri dan jangan takut mencuba perkara baharu dalam hidup, tidak mudah berputus asa dan usah jadikan kritikan orang luar dalam menjatuhkan kredibiliti kita,” jelasnya.

Lagu Jangan Terlepas Pandang boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengari pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala video muzik pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.