Selepas tudung, wangian, Che Ta jual inai pula
CANTIK, berbakat dan bijak. Begitulah yang boleh disimpulkan mengenai figura bernama Rozita Che Wan ini.
Dalam kesibukannya meneruskan rutin kerja seni, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu sempat meneruskan fokusnya dalam dunia perniagaan.
Selepas muncul dengan bisnes tudung, wangian dan pencuci wanita, wanita yang mesra dengan panggilan Che Ta itu, hadir pula dengan produk inai ‘instant’ dipanggil Mazaville berkolaborasi dengan temannya, Anas Zahrin.
Berkongsi keputusannya untuk melibatkan diri dalam perniagaan inai ‘instant’, ibu kepada tiga cahaya mata itu, mengakui yang dia memang peminat inai sejak dulu lagi.
“Selalunya, inai ini sinonim bila nak kahwin. Tapi, sebenarnya tidaklah hanya terbatas masa nak kahwin.
“Dulu pun, kalau ada majlis kahwin, yang bujang ‘trang tang-tang’ menyelit sekali pakai inai. Malah saya sendiri memang gemar pakai inai sebagai penambah aksesori dari bujang hingga kini,” katanya.
Tambah wanita berusia 49 tahun itu, dia pada awalnya berhasrat untuk melancarkan Mazaville sebelum bulan Ramadan lalu.
Namun kesibukan menjadi pembatas, bagaimanapun tidak sampai melupakan perancangan itu.
“Masa buat keputusan untuk tema fotografi produk ini pun kami tetapkan tradisional Melayu. Songket merah gelap ini bagai sesuai dengan produk kami dan menambah seri terhadap inai ini.
“Saya bersyukur sebab akhirnya boleh lancarkan produk ini dan kongsikan kepada peminat dan masyarakat,” jelasnya.
Mengakui biarpun ramai mengusahakan perniagaan sama, isteri kepada Zain Saidin ini percaya rezeki itu luas.
“Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Kalau anda nak support inai yang kami hasilkan, saya bersyukur sangat-sangat.
“Harga pun bukan level kayangan. Harga kita-kita, memang ‘rakyat’. Hanya RM15. Jangan bandingkan dengan orang lain. Kita berniaga secara sihat, janji hasilnya letup. Nak jadi stokis pun dialu-alukan.
“Kami pun level ‘ikan bilis’ saja nak dibandingkan jenama popular lain. Harga ditetapkan pun sebab tahu ekonomi sekarang macam mana. Tapi biar beli bukan setakat sekali, tapi berkali-kali,” ujarnya.
Sibuk di lokasi
Sementara itu, berkongsi perkembangan seninya, Che Ta berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sitkom 18 episod berjudul Lot 69 untuk siaran Awesome TV.
Selain Che Ta, antara pelakon lain yang terlibat dalam sitkom arahan Ismail Bob Hashim itu adalah Izzue Islam, Fahrin Ahmad, Ali Puteh dan Nina Smith.
“Menariknya dalam sitkom ini, saya boleh bercakap loghat utara, Izzue pun bercakap loghat Kelantan dan ada juga pelakon lain yang cakap loghat negeri masing-masing,” katanya.
Lot 69 akan mula bersiaran pada 11 Jun depan setiap Sabtu dan Ahad, jam 9 malam.
Selain itu, Che Ta juga baru sahaja menyelesaikan penggambaran 13 episod sebuah bual bicara di Go Shop.
“Saya juga kini diamanahkan menjadi juri tetap untuk dua buah program di TV. Tapi belum boleh dimaklumkan lanjut lagi program apa,” ujarnya menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang