KATA Nelissa Nizam penglibatannya dalam lapangan seni tidak pernah bermotifkan populariti, apatah lagi mendambakan percikan glamor sebagaimana yang selalu diimpikan gadis-gadis seusianya.

Apa yang dimahukannya adalah mengembangkan bakat seni yang ada dalam diri. Beliau juga berkeinginan untuk menimba pengalaman baharu bagi mewarnai kehidupan yang sedang direntas kini.

Mula menceburi bidang lakonan sekitar tahun 2016, pemilik nama sebenar Nelissa Edreena Nizam berkata, dirinya tidak pernah terfikir untuk menggunakan jalan pintas untuk membina nama.

Ungkap tuan punya badan, biarpun terpaksa menunggu masa yang lama untuk dikenali, beliau berasa puas kerana dapat berusaha sendiri dan belajar banyak perkara dari bawah.

“Saya mula aktif berlakon pada tahun 2016 menerusi drama Dia Semanis Honey dan disusuli dengan beberapa naskhah lain.

“Namun, ketika itu kehadiran saya tidak begitu disedari umum sehinggalah penampilan saya dalam drama Budak Tebing 2 pada tahun lalu yang mencuri perhatian ramai.

“Alhamdulillah, selepas itu orang mula nampak bakat lakonan saya dan semakin banyak tawaran yang lebih menarik diterima sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Siapa sangka selepas enam tahun bekerja keras, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula mendapat kepercayaan membawakan watak utama termasuk digandingkan dengan barisan pelakon hebat.

“Saya terharu, sejak akhir-akhir ini saya dapat banyak peluang yang tidak saya jangka dan bakal memberi pengalaman baharu kepada saya.

“Saya digandingkan dengan pelakon Zul Ariffin sebagai watak utama untuk drama berjudul Tarik Aku Ke Syurga yang bakal disiarkan di TV3 tidak lama lagi, selain naskhah Cinta Hilang Kata untuk siaran Astro.

“Saya bersyukur kerana dalam tempoh dua tahun ini, kerjaya seni saya semakin menyinar dan usaha keras selama ini menampakkan hasil,” ujarnya.

Tidak hanya itu, gadis berusia 24 tahun yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor itu juga mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dengan menganggotai kumpulan The Gadys.

The Gadys yang turut disertai tiga rakannya iaitu Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini bakal tampil dengan single pertama mereka pada Julai depan.

Namun sebelum itu, mereka muncul dengan single raya berjudul Gadys Raya pada Ramadan lalu.

“Syukur sangat, ramai memberikan sokongan dan teruja menantikan buah tangan pertama kami ini. Paling seronok bila tengok banyak maklum balas positif yang diberikan menerusi media sosial.

Iklan

“The Gadys bukanlah jelmaan mana-mana kumpulan wanita sedia ada, sebaliknya kami mempunyai karakter berbeza, selain konsep muzik tersendiri yang akan memberi lebih pilihan kepada para peminat muzik tanah air,” katanya.

Bahagi masa

Meskipun mula aktif dalam nyanyian, Nelissa menegaskan, bidang lakonan tetap menjadi keutamaannya. Apatah lagi nama beliau kini semakin melonjak naik selepas mendapat kepercayaan daripada banyak pihak.

“Saya hanya mahu mempelbagaikan bakat yang ada. Lakonan tetap menjadi fokus utama, manakala nyanyian pula adalah bidang yang baru saya cuba dan masih di peringkat permulaan.

“Cuma apa yang saya perlu lakukan sekarang adalah menguruskan masa dengan sebaik-baiknya agar semua jadual kerja berjalan lancar, selain aktiviti berkaitan pengajian juga bergerak seiring.

Iklan

“Apa-apa pun, saya yakin semuanya akan okey kerana semua yang terbentang di depan mata adalah perkara yang saya suka dan minat,” katanya.

Berkongsi sambutan raya baru-baru ini, anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, mereka sekeluarga seronok dapat kembali menyambut Aidilfitri di Kelantan.

“Ibu saya orang Kelantan dan setiap tahun menjadi rutin kami pulang beraya di sana. Kalau tak balik, memang tak meriah raya kerana keluarga sebelah ibu besar dan ramai saudara-mara.

“Selepas dua tahun tak dapat raya bersama disebabkan pandemik, memang beraya sakanlah masing-masing,” akhirinya.

(FOTO: Instagram Nelissa Nizam & Universal Music Malaysia)