Seniman rayu kerajaan tetapkan SOP dan kebenaran jalani penggambaran ketika PKP
PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) merayu kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi penggiat seni untuk membolehkan mereka meneruskan aktiviti penggambaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah dalam satu kenyataan media berkata, sebahagian besar warga kerja industri kreatif di tanah air berkerja secara freelance hilang pendapatan apabila penggambaran tidak dibenarkan.
“Apabila dikuatkuasakan PKP, penggiat seni tidak lagi dibenarkan menjalankan penggambaran dan tiada pendapatan.
“Seniman memohon agar pihak kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan atau SOP untuk kami meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup.
“Dalam tempoh yang amat mencabar ini, pihak penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai dateline untuk menyiapkan sesebuah karya.
“Seniman sangat bimbang dan risau dengan ahli-ahli kami yang semakin terhimpit akibat pandemik Covid-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor yang penting di Malaysia sebagaimana sektor pekerjaan lain.
“Kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Seniman sekali lagi mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan dan SOP kepada warga industri kreatif secepat mungkin untuk kami meneruskan penggambaran,” katanya.
Terdahulu sebelum itu beberapa persatuan seni turut menyuarakan isu sama, termasuk penggiat seni yang rata-ratanya mengharapkan agar kerajaan memberi kebenaran untuk mereka menjalani penggambaran dengan SOP yang ditetapkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang