BIARPUN diketahui umum sedang bergelut melawan virus Covid-19 sejak Jumaat lalu, namun pemergian penyanyi, Siti Sarah tetap mengejutkan ramai.

Malah sejak suaminya Shuib berkongsi berita sedih itu, ramai yang berkongsi kenangan dan kebaikan yang dilakukan arwah ketika hayatnya.

Ini termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Menurut Nadir menerusi Instagram miliknya, dia dihubungi Sarah beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha bagi bertanyakan mengenai ibadah korban di sana.

Lebih mengejutkan, Sarah menyatakan hasratnya untuk mengorbankan seekor lembu di sana.

“Tersentap sekejap bila baca berita daripada Shuib tentang pemergian Siti Sarah. Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban di Gaza kami.

“Masa itu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja.

“Seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” coretnya.

Paparan skrin perbualan Sarah dan Nadir.

Tambah Nadir, Siti Sarah bukan hanya menghubunginya untuk bertanya mengenai ibadah korban, tetapi juga sering bertanya keadaan penduduk di Palestin.

Iklan

“Selepas itu beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

Iklan

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada’ akhirat di bumi berkat.

“Semoga engkau tenang di sana, Al-Fatihah,” tulisnya.

BACA JUGA Siti Sarah Meninggal Dunia