MELIHAT kepada kefasihannya berbahasa Melayu dan banyak membintangi drama Melayu, ramai yang tidak menyangka, pelakon Daniella Sya merupakan gadis berketurunan Cina.

Seringkali pemilik nama sebenar Daniella Sya Yeng Yeng, 32, itu terpaksa menjelaskan situasi sebenar apabila laman Instagramnya dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkenaan soal itu setiap kali drama baharunya muncul di kaca TV.

“Sehingga kini masih ada yang salah faham apabila mereka sangka saya berketurunan Melayu dan seorang Muslim.

“Mungkin kerana mereka lihat saya fasih berbahasa Melayu dan banyak muncul dalam drama Melayu sehingga timbul anggapan sedemikian.

“Ada ketika saya jelaskan dan selalu juga saya biarkan sahaja. Apa yang penting, saya hargai sokongan yang mereka berikan selama penglibatan saya dalam dunia lakonan,” katanya.

Bagaimanapun, Danielle berkata, disebabkan salah faham tersebut juga, ada warganet yang bertindak mengecamnya di laman sosial apabila melihat dia memuat naik foto-foto yang dianggap menjolok mata bagi sesetengah pihak.

“Saya sebenarnya tidak ambil kisah pun dengan komen-komen yang diberikan di laman sosial. Memang ada komen yang keterlaluan, tapi saya anggap ia sebagai bahan hiburan sahaja.

“Bagi saya, bila kita memuat naik sesuatu gambar di laman sosial, kita perlu terbuka dengan bersedia untuk berdepan dengan orang yang ada banyak komen.

“Jadi tak perlu nak rasa marah atau rimas, kerana media sosial memang sifatnya begitu,” tegasnya.

Sebelum dikenali di Malaysia, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, terlebih dahulu memulakan kerjaya lakonannya di Singapura lebih 10 tahun lalu.

Selepas beberapa tahun menimba pengalaman di sana, atas sebab tertentu Daniella kembali ke Malaysia untuk berehat seketika sebelum dilamar produksi drama Aurora Aishah pada tahun 2017 untuk kembali beraksi dalam dunia lakonan.

“Dalam tiga tahun ini, saya banyak mendapat tawaran daripada produksi drama Melayu dan terharu apabila kehadiran saya diterima baik.

Iklan

“Ramai peminat yang memberikan sokongan biarpun tahu saya bukanlah pelakon Melayu.

“Jauh di sudut hati, saya rasa bertuah dilahirkan di Malaysia dan dapat mencari rezeki di tanah air sendiri.

“Bagi saya, peluang pekerjaan sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang rajin dan kuat bekerja tidak kira siapa pun dia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Daniella, baru sahaja tampil dengan filem komedi seram, Takut Ke Tak yang sedang ditayangkan di pawagam bermula 27 Ogos lalu, selain Abang Long Fadil 3 dan Talbis Iblis yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Iklan

“Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran siri KL Gangster: Underworld 2 baru-baru ini, selain sebuah drama siri baharu pada bulan lepas.

“Kali pertama menjalani penggambaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan memang ada rasa takut juga, tetapi bila tengok semua orang patuh SOP dan jaga diri masing-masing, barulah saya rasa lega,” akuinya.

 

(FOTO: Instagram Daniella Sya)