Zarol Zarif promo single baharu di platform YouTube sendiri

ZAROL ZARIF
ZAROL ZARIF
A
A
A

BIARPUN berdepan dengan pelbagai halangan dan dugaan, impian Zarol Zarif untuk memperjuangkan bakat seninya tidak pernah terkubur.

Mengakui nasib tidak begitu menyebelahi dirinya meski pernah bergelar peserta  program realiti Akademi Fantasia (AF) 2016, Zarol tidak pernah patah semangat.

Malah pemilik nama sebenar Mohamad Afzarul Dzarif Mohd. Mazle, 29, itu mengatur pelbagai usaha untuk mencari peluang termasuk menjadi seorang bintang YouTube.

“Pernah satu ketika saya rasa berputus asa dengan perjalanan berliku yang dilalui untuk menempatkan diri dalam industri seni.

“Kerjaya saya pernah diuruskan oleh satu syarikat pengurusan, namun ia tidak membawa ke mana. Saya mula penat menagih simpati orang untuk mendapatkan peluang.

”Jadi saya mengambil inisiatif wujudkan saluran YouTube sendiri, Cikidot Channel yang akhirnya menjadi plaform saya memperjuangkan bakat seni,” katanya.

Menurut Zarol, dia mula membina nama menerusi platform tersebut dengan pelbagai kandungan menarik dihasilkan bersama pasukannya sehingga akaun YouTube miliknya kini sudah melebihi satu juta langganan.

“Alhamdulillah usaha tersebut membuahkan hasil dan orang mula nampak apa yang saya lakukan.

“Saya ada platform sendiri untuk kongsi bakat seni yang saya ada tanpa sebarang kekangan. Banyak kerja-kerja seni saya dipromosikan di platform ini dan ia menunjukkan hasil positif,” katanya.

Single baharu

Pun begitu, Zarol berkata, dia tetap mahu meneruskan misi untuk bergelar penyanyi yang berjaya dan membina nama dalam industri demi memenuhi impian arwah bapanya.

Justeru Anak kelahiran Johor itu tekad untuk membuat penampilan semula menerusi single terbaharunya, Kan Kan. Lagu tersebut menyaksikan kolaboratif Zarol bersama Cat Farish dan Suffren Ghafar.

“Sebelum ini saya pernah tampil dengan dua single iaitu Kehilangan dan Bidadari, namun entah di mana silapnya kedua-dua lagu tersebut kurang menyerlah. Jadi saya rehat sekejap dan buat YouTube.

“Sekarang mungkin waktu yang tepat untuk saya buat comeback dan tampil dengan single baharu. Malah saya juga dapat gunakan platform YouTube saya untuk buat promosi.

“Dalam masa sama, industri seni juga kembali pulih dan aktiviti hiburan juga sudah dibenarkan. Jadi saya bolehkan ketengahkan single baharu ini dengan sebaik-baiknya,” katanya yang bakal tampil dalam persembahan Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner di Hotel Royale Chulan pada 19 Februari depan.

Tambah Zarul lagi, sokongan arwah bapanya sebelum ini sentiasa menjadi pembakar semangat untuknya terus mengejar impian.

“Arwah bapa adalah penyokong kuat dan dia nak sangat tengok saya jadi penyanyi berjaya. Sebelum ini, dialah yang bawa saya pergi ujibakat nyanyian sana sini.

“Jadi biar apa pun cabaran dilalui, saya tetap akan teruskan perjalanan dalam bidang seni, sekali gus memenuhi impian arwah bapa,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Zarol Zarif)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca