PEMBABITAN awal dalam dunia bisnes bermula selepas beliau berjinak-jinak dengan bisnes jualan tudung.

Kata empunya diri, keputusan itu didorong oleh faktor trend semasa dan bukan atas dasar minat dan bakat.

Demikian mukadimah awal Nor Anida Fadzil, pemilik Mykitchenpartner yang ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.

“Sebelum memilih bidang makanan, saya telah memulakan perniagaan tudung pada tahun 2014. Namun, tidak bertahan lama, saya tidak dapat meneruskan bisnes tersebut kerana berasakan ia bukan jiwa saya.

“Sementelah, bisnes tersebut berkaitan dengan jahitan, sedangkan saya minat memasak,” kongsinya yang berganding bahu bersama suami menerajui bisnes makanan bersama.

Baca ni ‘Pandai bawa diri, ikut protokol. Bekas suami ayah terbaik.’ Ini reaksi Norjuma bila ditanya tentang status diri & anak-anak

Nama Mykitchenpartner pun diambil inspirasi daripada gandingan beliau bersama suami tersayang.

Demi memastikan Mykitchenpartner berjalan dengan sukses, Nor Anida memberitahu, beliau dan suami tak kisah dan sanggup belajar dari bawah termasuklah bab produksi sehingga kepada urusan pelanggan.

SUKA MEMASAK

Ujar wanita berumur 42 tahun itu, sebelum beralih bidang, beliau pernah berpengalaman 10 tahun sebagai Eksekutif Perakaunan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan sebelum berhenti dan bergelar pensyarah di Institut Profesional Baitulmal selama empat tahun.

“Kalau mahu diikutkan, sejak dahulu lagi, saya minat memasak dan menjamu orang makan. Waktu bekerja makan gaji, ada sahaja jamuan atau makan-makan. Saya antara orang yang akan tampil secara sukarela untuk menyediakan hidangan utama.

“Awalnya saya menyertai kelas pastri atas dasar minat. Waktu itu, tiada sebarang perancangan untuk berniaga. Sehinggalah suatu hari, bekas rakan sekerja meminta saya membuat Cream horn.

“Dari situlah titik tolak saya dan suami memulakan bisnes dalam pastri,” ungkap Nor Anida sambil memberitahu, menu pastri Cream Horn paling viral ketika itu sebelum mengambil langkah memperkenalkan signatur terbaharu, nasi daging.

Selepas itu, mereka menyediakan menu Nasi Dalca Ayam Bawang dan kek batik yang menjadi kegemaran ramai.

Baca lagi ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

IMPAK PROGRAM INFAK

Bermula sebagai kerja sampingan, sedikit demi sedikit Nor Anida mengorak langkah dalam bidang bakeri dan pastri.

“Hari demi hari, saya lihat hasil bakeri mampu menjana pendapatan, lantas saya memberanikan diri untuk lebih fokus dalam bisnes tersebut. Pada masa sama, saya sedar, kekangan masa menyebabkan fokus kepada anak-anak agak terhad.

“Kami suami isteri terlalu sibuk dengan kerja. Mungkin inilah petunjuk kepada saya untuk memulakan benda baharu sekali gus dapat menumpukan lebih masa dengan anak-anak, keluarga dan ibu bapa,” ujar anak kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu lagi.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Nor Anida memberanikan diri untuk melabur wang simpanannya untuk membangunkan bisnes terbaharunya itu.

“Untuk permulaan, saya menggunakan wang simpanan sendiri membeli aset seperti ketuhar gelombang mikro dan mesin pengadun.

“Satu lagi, bohonglah andai kata tidak malu atau segan, apatah lagi sebelum ini saya memiliki kerjaya sendiri. Sementelah nak mencari pelanggan pada peringkat awalnya bukan mudah,” ujarnya.

Tambah Nor Anida lagi, cabaran pertama membuka bisnes secara dalam talian yang perlu ditempuh adalah bagaimana mahu mendapatkan pengikut.

“Di platform Instagram dengan tiada pengikut. Bermula dengan kosong. Cabaran kedua pula adalah membina kepercayaan daripada pelanggan dan pengikut.

“Alhamdulillah, ALLAH permudahkan dan kami dikelilingi sahabat serta kenalan yang sentiasa menyokong Mykitchenpartner dari bawah sehingga sekarang,” ulas Nor Anida yang tidak pernah melupakan program infak makanan.

Iklan

Baca ni Bangkit daripada kegagalan, bekas pekerja bank & jurusolek kini miliki empayar kosmetik sendiri, HAUS Cosmetics

Program itu (infak) ujarnya, telah memberi impak positif buat mereka.

“Paling meninggalkan kesan adalah program infak makanan yang kami sediakan kepada rider grab, foodpanda sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Waktu itu, kami berasa terlalu dekat dengan mereka. Merekalah yang memberi khidmat penghantaran makanan kami kepada pelanggan.

“Selain itu, kami turut bersama dengan Aman Muslim Malaysia untuk aktiviti infak makanan ke rumah anak-anak yatim, madrasah, golongan asnaf, mangsa banjir dan sebagainya lagi,” ujar Nor Anida yang sentiasa menggunakan platform Instagram sebagai satu alat pemasaran.

Baca ni ‘Orang yang jaga ibu bapa, orang yang berjaya.’ Kak Ell tidak lupa asal usul, bangga guna nama sendiri untuk jenama produk

MAHU LUASKAN PERNIAGAAN

Iklan

Ujar beliau, selain teknik gambar, perkongsian dan inti pati yang dimuat naik menjadi salah satu caranya yang mendekatkan beliau dengan pelanggan.

“Interaksi dengan pengikut di Instagram dan WhatsApp juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengekalkan hubungan antara pelanggan dan peniaga online,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran ekonomi yang kian rapuh masa kini, empunya diri berkata, situasi tersebut sudah pun dirasai pada penghujung tahun 2022.

“Ya, keadaan ekonomi sangat mencabar dengan harga barang yang sangat tidak menentu. Kami terpaksa membuat keputusan menamatkan beberapa jenis pemanis mulut yang pernah kami jual sebelum ini memandangkan keadaan harga barang terlalu tinggi. Kami juga lebih fokus kepada penyediaan makanan nasi berlauk.

Baca ni Warunk Koffie by Wood & Steel tempat lepak minum kopi paling best di Shah Alam. Harga pun berpatutan

“Nasihat saya buat mereka yang telah menceburi dunia bisnes, teruskan. Setiap daripada kita akan diuji namun yang pasti akan ada rezeki yang ALLAH tentukan cuma cepat atau lambat sahaja,” ungkap Nor Anida yang merancang untuk pergi lebih jauh dengan mencuba bidang katering.

@sinarplus Datin Che’ Puan Norjuma ketika diminta berkongsi tip tetap awet muda sejak dahulu lagi, ini jawapan tuan punya badan… #norjuma #tip #awetmuda #bawalscarf #aj #SinarPlus ♬ Made You Look – Meghan Trainor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi