ULAR tedung memang haiwan yang menggerunkan. Dalam kalangan masyarakat. Malaysia, ular dianggap sebagai musuh yang boleh menyebabkan kematian.

Tidak mengira saiz dan warna, semuanya berbahaya kerana boleh membunuh dalam masa singkat, membutakan penglihatan, menggugurkan kandungan dengan patukan bisa dan lilitannya.

Baru-baru ini tular video yang memaparkan seekor ular tedung hitam menyusur di bawah badan kanak-kanak.

Kejadian yang dipercayai berlaku di kediaman pengasuh kanak-kanak itu di Taman Serai Perdana, Bagan Serai, Perak membuatkan ramai kecut perut.

Menerusi TikTok @miazaraa, budak lelaki berkenaan dipujuk oleh pengasuhnya untuk tidak bergerak.

Si kecil itu kelihatan tenang biarpun haiwan reptilia mempunyai kulit bersisik bergerak di bawah tubuhnya yang sedang berbaring di atas lantai.

Tidak hanya itu, bahagian ekor haiwan berkenaan juga berada dipijak tapak kaki kanannya.

Baca juga: Anak 2 tahun dipatuk ular, lelaki berdepan detik cemas pangku & pecut ke hospital. ‘Maafkan walid sayang’

“Masya-ALLAH, Allahuakbar, ALLAH Maha Berkuasa . Anak ini dalam jagaan ALLAH,” kongsinya.

Video berdurasi 19 saat itu ditonton lebih 4.3 juta kali.

Difahamkan, insiden mengancam nyawa berkenaan segera dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, panggilan bantuan menangkap ular diterima pada jam 11.28 pagi.

“Semasa tiba di lokasi kejadian didapati kanak-kanak itu sedang berbaring dan menindih ular tedung yang panjangnya 0.4 meter.

“Anggota bertindak menangkap ular manakala seorang lagi anggota mengangkat mangsa,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa dan diserahkan semula kepada pengasuh.

“Ular terbabit kemudiannya dilepas semula ke habitat asalnya yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Baca juga: Tanpa kimia, 9 bahan dapur ini boleh halau tikus elak ular masuk ke dalam rumah

Warganet memuji sikap tenang si kecil yang berupaya mengelakkan haiwan berbisa itu bertindak agresif atau mematuk.

– “Tidak boleh panik. Memang kena bertenang kerana ular jenis ini menyerang apabila ada pergerakan.”

– “Tenangnya adik ni, masya-ALLAH, ALLAH lindunginya.”

– “Allahuakbar, syukur tak panik dan semua selamat.”

– “Allahuakhbar. Diam sahaja adik ni kawal nafas. Alhamdulillah dalam lindungan ALLAH.”

– “Hebat, ALLAH jaga budak ni.”

– “Elok adik ni keraskan badan. Kalau budak mungkin sudah menangis atau lari.

Biarpun mendebarkan, episod mencemaskan itu berakhir dengan selamat. Ibunya, Yana bersyukur anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Alhamdulillah, anak saya selamat. Untuk pengetahuan semua, ular berkenaan bukan mainan sebaliknya ular senduk.

“Ia amat berbisa tetapi ALLAH menjaga anak saya.

Ramai warga maya tertanya-tanya amalan keluarga kanak-kanak berkenaan yang terhindar dari bahaya semasa berhadapan haiwan berbisa.

“Setiap hari sebelum keluar bekerja, saya akan berdoa dan bertawakal lepada ALLAH.

“Meminta ALLAH menjaga anak-anak saya semasa saya mencari rezeki,” kongsi ibu bernama Yana turut mengatakan anaknya itu aktif tetapi ketika kejadian berupaya tidak bergerak sehingga pihak penyelamat tiba.

Iklan

Baca juga: 3 kaedah halau ular daripada masuk rumah yang bermaharajalela ketika musim panas. Guna bahan dalam rumah jer

15 INFO ULAR BERBISA

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

1-Ular berbisa terbahagi kepada tiga keluarga yang utama iaitu Elapidae, Viperidae dan Hydropidae.

2-Spesies dari keluarga Elapidae termasuk uIar katam tebu, katam belang, katam kepala merah, matahari biru, ular pantai belang, ular pantai bintik, ular pantai bintik kecil, tedung hitam dan tedung selar.

3-Ular jenis ini mempunyai taring yang tetap di bahagian hadapan rahang atas. Kesemua keluarga Elapidae amat berbahaya kerana bisanya bertindak kepada sistem saraf mangsa.

4-Antara tanda-tanda keracunan bisa ular jenis Elapidae ialah:

5-Jenis tedung:

  • Kesakitan pada tempat gigitan dalam masa setengah jam.
  • Bahagian bekas gigitan membengkak (selepas satu jam dipatuk).
  • Lemah-lemah badan.
  • Pengeluaran air liur yang berlebihan.
  • Mengantuk.
  • Lumpuh pada otot-otot muka, bibir, lidah dan saluran pernafasan.
  • Tekanan darah menurun.
  • Mata kuyu (ptosis).
  • Pandangan menjadi kabur.
  • Sawan (konvulsi).
  • Badan berpeluh.
  • Dalam kes-kes teruk tanda-tanda berikut adalah nyata:
  • Komplikasi kardiovaskular.
  • Hipotensi.
  • Sakit yang amat sangat pada bahagian perut.
Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

6-Jenis katam tebu:

  • Biasanya gigitan ular jenis ini tidak meninggalkan kesan kesakitan yang teruk.
  • Jangka masa kesakitan juga tidak berlarutan.
  • Tiada kesan bengkak atau perubahan warna kulit pada tempat gigitan.
  • Tanda-tanda lain adalah serupa dengan kesan gigitan tedung.

7-Ular matahari

  • Kesakitan pada bekas gigitan.
  • Bekas gigitan membengkak.
  • Kudis boleh terbentuk pada tempat gigitan.
  • Gangguan pernafasan

8-Keracunan yang teruk boleh dikenal pasti dengan tanda-tanda toksin saraf dalam masa satu jam.

9-Jika anda digigit haiwan ini, cuba bunuh kerana ia penting bagi tujuan mengenal pasti antivenin. Ini adalah bagi mengelakkan kesilapan menyuntik antivenin yang salah sekali gus membahayakan nyawa mangsa.

Iklan

10-Tetapi, jangan membuang terlalu banyak masa untuk membunuhnya kerana rawatan awal mangsa adalah lebih penting. Untuk membunuh ular, gunakan kayu panjang dan jika boleh buluh lebih sesuai.

11-Pukul dengan kuat di bahagian belakang kepalanya tetapi jangan hancurkan bahagian iti kerana ia perlu dikenal pasti dari bentuk kepala.

12-Sekiranya percubaan membunuh ular tersebut tidak berjaya, mencukupi jika anda dapat mengingati saiz dan corak warna ular tersebut.

13-Walaupun haiwan itu telah mati, anda haruslah berhati-hati ketika memegangnya.

14-Jangan cuba mengusik kawan atau bermain-main dengan bangkainya kerana berkemungkinan ia masih hidup.

15-Biarupun telah mati, bisanya masih boleh membahayakan sekiranya tersuntik ke tubuh dalam masa satu jam.

Sumber: Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, TikTok MiaZaraa

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang