SEBAGAI seorang ibu, tiada apa lagi yang diharapkan oleh Kaasnida Mohamed Nazar, 34, sempena bulan Ramadan penuh keberkatan ini melainkan mahu melihat anak bongsunya sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain.

Tatkala bercerita perihal Muhamad Ziyad Amzar Muhamad Razif yang dijangkiti kuman meningococcal sehingga hilang kedua-dua kakinya, ibu tabah tersebut cukup pilu.

Tidak hanya kaki, beberapa jari tangan anak bongsu daripada tiga beradik itu terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawanya selepas kuman merebak dengan terlalu cepat.

Jangkitan jenis meningitis itu adalah satu penyakit melibatkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang dan boleh menggagalkan fungsi organ badan.

Kepada SinarPlus, Kaasnida berkongsi cerita. Kata beliau, ketika anaknya yang manja dipanggil Ziyad berusia dua tahun, bintik-bintik merah pada kaki tiba-tiba muncul dengan banyak. Beliau juga diserang demam panas melampau dan cirit-birit sehingga tidak mampu berjalan.

Ziyad

“Rupa-rupanya ia merupakan petanda kepada penyakit berbahaya itu. Kemudian, Ziyad tidak lagi aktif seperti biasa. Ketika itu, saya dah mula tidak sedap hati apabila tangan dan kakinya juga lemah.

“Apabila suhu badannya mencecah 39.8 darjah celsius, saya terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Lagi membuat hati saya tak keruan apabila kaki dan jari tangan Ziyad tiba-tiba menjadi lebam kehitaman,“ ujarnya yang mendapatkan khidmat pakar berbeza di dua buah hospital.

Baca juga ‘Saya teringin nak belikan baju raya baharu untuk anak-anak.’ -Luahan pilu ibu tunggal lima anak

Sebaik doktor memaklumkan hayat anak kecil itu 50 peratus sahaja, perasaan Kaasnida semakin berkecamuk. Ditambah laporan imbasan Computed Tomography yang menunjukkan diagnosis yang meresahkan.

“Selepas dua minggu berada di wad isolasi, doktor beritahu saya, beberapa jari Ziyad terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan lebih parah.

“Selepas itu, Ziyad disyorkan menjalani pembedahan kali kedua untuk memotong kedua-dua kakinya yang semakin teruk.

ziyad

“Saya bagai nak pitam mendengar kata-kata doktor. Walaupun hati ini berat, namun kami suami isteri terpaksa merelakannya demi menyelamatkan nyawa si kecil ini,“ tutur wanita kelahiran Raub, Pahang yang kini menetap di rumah mertuanya di Felda Mempaga Tiga, Bentong.

Pembedahan susulan

Perbualan kami pada petang itu cukup mengharukan. Kata Kaasnida, benaknya tidak henti daripada memikirkan banyak perkara termasuk masa depan si anak.

Bagaimana keadaan Ziyad jika bersekolah nanti? Adakah si kecil itu akan mengalami kemurungan? Adakah beliau akan menyalahkan diri sendiri? Bagaimana pula jika diejek rakan sebaya?

“Itu antara soalan yang berputar ligat dalam fikiran saya. Ibu mana tak risau. Sekarang ini pun jika kami keluar berjalan-jalan, mesti ada yang bertanya tentang Ziyad,“ katanya.

Ziyad

Pun demikian, berkat doa ibu dan ayah termasuk orang sekeliling serta kuasa ALLAH SWT, kanak-kanak itu dilihat semakin cekal dan memahami keadaan dirinya yang tidak seperti orang lain.

“Apabila ada orang tanya di manakah kakinya? Dengan tenang Ziyad akan berkata: ‘Ziyad kan sakit, ALLAH kan sayang Ziyad, kaki dan tangan Ziyad kini ada di syurga‘.

“Itulah ayatnya yang ramah menjawab pertanyaan orang. Melihat Ziyad yang kuat semangat, membuatkan saya terus positif dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Ziyad yang saya sayangi,“ katanya yang sudah tidak dapat menahan diri daripada terus menangis teresak-esak.

Meskipun transisi si kecil itu yang kini sudah berusia lima tahun bertambah baik, Kaasnida masih berulang-alik ke Hospital Rehabilitasi Cheras, Selangor untuk latihan fisiologi Ziyad memakai kaki palsu.

Baca juga Dua beradik hidap penyakit jantung berlubang mohon bantuan orang ramai, si adik memerlukan pembedahan segera

Selain itu, pemeriksaan susulan pakar tulang di Hospital Temerloh turut dilakukan. Namun, suri hati kepada Mohamad Razif Razali, 40, kini sangat lega apabila anaknya sudah bebas daripada jangkitan kuman.

“Selepas menjalani dua lagi pembedahan membuang tulang jari dan kaki pada dua tahun lalu, alhamdulillah kesihatan Ziyad bertambah baik walaupun tidak sepenuhnya.

Ziyad

“Namun, doktor beritahu bahawa tulang kakinya akan memanjang seiring pertumbuhan Ziyad hingga umur 18 tahun. Dia juga perlu dibedah sekali lagi bagi mengelakkannya sukar untuk berjalan ketika menggunakan kaki palsu,“ katanya.

Wanita berkenaan mengaku, keluarga beliau yang bergantung dengan pendapatan suami sebagai operator kilang, selain bantuan kerajaan bernilai RM300 sebulan memang tidak mencukupi.

“Untuk meminta-minta, saya cukup segan. Bayangkan, untuk urusan rawatan susulan dan latihan (fisiologi) memerlukan banyak wang memandangkan kami terpaksa berkampung hampir sebulan di hospital.

“Tidak mengapalah jika raya nanti kami tidak berganti baju raya baharu, apa yang penting keperluan anak-anak terutama rawatan Ziyad didahulukan,“ ujarnya.

Baca juga Derita sakit usus dan SLE, hidup remaja ini berubah 360 darjah. Bantuan RM30,000 diperlukan untuk kos perubatan

Kepada pembaca SinarPlus yang bermurah hati, sumbangan anda boleh memberi peluang dan memudahkan Ziyad untuk meneruskan prosedur di hospital.

Di samping itu, ia membantu si kecil itu dan dua beradiknya lain membeli baju raya yang cantik untuk dipakai pada Syawal nanti.

Bantuan anda boleh disalurkan terus ke akaun CIMB 7035288877 atas nama Kaasnida Mohamed Nazar.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI