TERINGIN memiliki gambar dengan tangan yang sempurna, demikian kongsi Nor Aika Masor tentang permintaan suami tercinta, Mohd Jafri Daud.

Foto pemuda kurang upaya (OKU) berbaju Melayu jelas menampakkan bahagian siku ke bawah tanpa tangan menyentuh hati ramai.

“Assalammualaikum. Suami mintak edit gambar diletak tangan. Katanya teringin nak ada tangan,” titip Nor Aika, 28.

Tular di grup Facebook Edit Apa Hari Ni, foto Mohd Jafri, 32, atau dikenali sebagai Pak Do jadi bualan.

Tinjauan SinarPlus mendapati hantaran berkenaan menerima 11,000 reaksi dan lebih 500 komen daripada pengguna Facebook.

Rata-rata warga maya berkongsikan gambar yang disunting dengan hasil yang menakjubkan.

-“Saya cuba seadanya ya sis. Suami anda insan yang hebat.”

-“Subhanallah, Allahuakbar. Semoga diberkati.”

-“Abang cukup sempurna di mata kami, semoga dipermudahkan segala urusan, diberikan kesihatan yang berpanjangan dan dimurahkan rezeki selalu.”

Menurut Nor Aika, keadaan tangan suaminya adalah sejak lahir lagi. Biarpun Mohd Jafri berbeza fizikal namun lelaki itu cukup istimewa di matanya.

 

“Walaupun tidak sempurna fizikal, saya memilih dia sebagai pasangan kerana keistimewaannya yang tiada pada orang lain .

“Walaupun suami tak cukup fizikal tapi pekerjaannya macam orang normal,” katanya yang menyenangi sikap rajin si suami dalam mencari rezeki buat keluarga.

Selain itu, sikap lemah lembut Mohd Jafri dan sikap ringan tulang membantu kerja rumah membuatkan rumah tangga mereka bertambah bahagia.

“Alhamdullilah sepanjang kami kenal, suami tidak pernah meninggikan suara ATAU mengherdik. Dia suka tolong saya buat kerja rumah, tidak pernah biarkan saya angkat barang berat. Suami dengan sesiapa pun memang dia hormat walaupun budak kecil,” kata Nor Aika.

Tiga tahun melayari bahtera rumah tangga, pelbagai kerja dilakukan sebagai punca rezeki. Kekurangan diri bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab mencari nafkah.

Mohd Jafri yang memiliki kelulusan dalam bidang jahitan dari Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi menjahit, menjual pakaian terpakai dan membuka gerai burger.

Baharu tiga bulan beroperasi, gerai burger mereka, BP Burger di Kota Jembal, Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan kini menjadi punca pendapatan.

Beroperasi dari jam 8 malam hingga 1 pagi, pelbagai menu burger seperti burger ayam, daging, ayam special, daging special dan oblong dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Tidak hanya foto suami menjadi perhatian, warga maya yang tersentuh dengan ketulusan hati wanita Nor Aika memilih pemuda itu sebagai pasangan hidup. Ujar mereka:

-“Saya ada sorang anak istimewa macam ni. Selalu doa bila besar nanti akan ada orang yang sudi terima dia seadanya. Semoga sis dan suami bahagia sentiasa.”

-“Terbaik awak isteri yang baik dan mithali menerima kekurangan suami seadanya. Semoga kalian dipermudahkan urusan dan dilimpahkan rezeki yang berkat dan melimpah ruah dunia akhirat.”

-“Subhanallah hari ini saya menyaksikan banyak sifat rahmah dan kebaikan terutama puan isteri yang memiliki hati sangat mulia, pelengkap kekurangan suami. Moga dikurniakan kemudahan dan bahagia hingga ke jannah..amiinn.”

-“Saya tak pandai edit tapi jujur suami puan sangat manis rupanya. Sejuk hati ni tengok muka dia. Puan pun cantik. Semoga both of you sentiasa di dalam dilindungan rahmat-NYA. Aamiin.”

Semoga mereka berdua bahagia hingga ke akhir hayat. Aamiin.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi