Ultraman kecek Klate, imaginasi tinggi Tok Dalang termuda Malaysia

A
A
A

“Ultraman pandai kecek Klate ke?” pertanyaan Pyu, Tok Dalang termuda di Malaysia membuat penonton tertawa sambil menceritakan pengembaraan watak kartun terkenal dari Jepun, Ultraman yang melawan raksasa Gomora.

Pyu, atau nama penuhnya Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie mula berkecimpung dalam persembahan wayang kulit sejak usia 4 tahun lagi.

Pyu dilahirkan dalam keluarga yang bergiat aktif dalam seni persembahan warisan negeri Kelantan yang merupakan pengasas Akademi Arjunasukma.

Ultraman kecek Klate, imaginasi tinggi Tok Dalang termuda Malaysia

Kini pada usia 6 tahun, Pyu sudah mahir dalam penyampaian cerita wayang kulit menampilkan gabungan watak tradisional seperti Pak Dagang dan Hanuman yang ‘dilawankan’ dengan watak seorang kanak-kanak sekolah bernama Pyu dan Ultraman.

Malu ketika ditemu bual, Pyu berbisik memberitahu, dia amat gemar menonton siri kanak-kanak ‘Ultraman’.

Menurut bapa Pyu, Mohd Sulhie Yusof, keluarganya memang bergiat aktif dalam seni persembahan tradisional seperti dikir barat, silat dan Mak Yong.

“Saya sendiri mengetuai kumpulan dikir barat dan silat kumpulan kami. Cumanya saya dan isteri berasa takjub melihat Pyu memegang patung wayang kulit buat pertama kali.

“Kalau dibandingkan dengan kanak-kanak lain, mereka mudah bosan apabila memegang permainan. Kami lihat, Pyu bukan sahaja bermain dengan patung wayang kulit tersebut, malah dia mula bercakap sendirian dan bercerita mengikut imaginasinya. Sebab itu kami mengambil keputusan untuk memupuk bakatnya dari awal supaya boleh mendalami pengetahuan dalam bidang persembahan wayang kulit,” katanya lagi.

Semakin lama Pyu mengikut bapanya membuat persembahan bersama Akademi Arjunasukma, semakin pantas Pyu ‘menangkap’ kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang Tok Dalang.

“Kami amat berbangga apabila Pyu mampu mengadakan persembahan pertamanya pada usia seawal 4 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Malaysia,”kata Mohd Sulhie.

Pyu lazimnya mengambil masa antara tiga hingga empat hari untuk berlatih mengolah cerita yang akan disampaikan semasa mengadakan persembahan.

Kebanyakan cerita yang disampaikan berbentuk pengalaman Pyu sendiri melawat pusat membeli-belah, tempat tarikan pelancong dan tidak ketinggalan cerita nasihat yang menggalakkan rakan sebaya supaya ke sekolah, belajar berjimat cermat dan banyak lagi.

Ultraman kecek Klate, imaginasi tinggi Tok Dalang termuda Malaysia

Pyu dan keluarganya kini sudah menetap di Kuala Lumpur.

Bercerita tentang perpindahannya dari Kelantan ke Kuala Lumpur, Sulhie mengakui, walaupun Akademi Arjunasukma sudah dikenali di negeri asalnya, peluang di ibu negara lebih meluas.

Tambahnya lagi, dia mempunyai cita-cita untuk merangka satu modul khas untuk kanak-kanak di peringkat sekolah rendah untuk mempelajari warisan wayang kulit.

“Kami pernah dijemput untuk mengadakan persembahan di sebuah sekolah antarabangsa dan sambutan yang kami terima amat memberangsangkan. Walaupun kanak-kanak yang menonton persembahan tersebut tidak memahami cerita yang disampaikan dalam dialek Kelantan, tetapi mereka amat teruja sehingga duduk rapat dengan kami untuk bertanya lebih lanjut tentang wayang kulit.

“Malah ada juga beberapa kanak-kanak yang austistik menunjukkan minat dalam seni persembahan wayang kulit. Walaupun mereka tidak dapat berkomunikasi secara lisan seperti kita tetapi mereka menunjukkan kemahiran asas pergerakan tangan yang amat baik,” katanya lagi.

Berikutan itu, semangat Sulhie membawa Akademi Arjunasukma untuk mendekati kanak-kanak kecil semakin berkobar-kobar. Strateginya mudah, mencetus minat kanak-kanak dalam melukis, mewarna dan membuat patung wayang kulit mengikut cita rasa mereka. Sama seperti Pyu dengan watak Ultraman yang amat diminati.

Bagaikan mendapat rezeki terpijak! Sejak bakat Pyu mula dikenali dalam persada seni warisan tanah air, mereka diperkenalkan dengan Yayasan Hasanah, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad yang memfokuskan usaha mereka dalam melestarikan program dan aktiviti yang mempunyai elemen kemasyarakatan termasuklah seni dan budaya.

Kini dijadikan ‘anak angkat’ oleh Yayasan Hasanah, Pyu dan Akademi Arjunasukma bukan sahaja mendapat sokongan dari segi kewangan, malah bantuan berbentuk peralatan dan kemudahan yang memudahkan pergerakan mereka sebagai penggiat seni budaya.

Syabas Pyu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca