Giliran Dr Amalina suntik vaksin Covid-19 di UK, selepas Sasha Saidin di UAE

A
A
A

PELATIH pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri berkongsi momen menerima suntikan vaksin Covid-19 di United Kingdom (UK) semalam.

Beliau yang sedang menyempurnakan kepakaran dalam bidang pembedahan awam di sebuah hospital terkemuka di London memberitahu, vaksin terbabit adalah keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa, Pfizer.

Dalam pada itu, Dr Amalina berusia 33 tahun turut menyarankan agar masyarakat sentiasa mematuhi peraturan Covid-19.

"Jom patuhi garis panduan Covid-19 memandangkan kes dan kemasukkan pesakit di hospital semakin meningkat.

"Hospital juga kini berada pada satu tahap yang genting. Belum tiba masanya untuk kita berpuas hati.

"Diharapkan, tahun depan (2021) menjadi tahun yang lebih baik!," tulis Dr Amalina menerusi laman sosial Instagramnya @dramalinabakri semalam.

Sementara itu, dalam posting tersebut Dr Amalina turut memuatnaik foto ketika menerima suntikan vaksin berkenaan termasuk berkongsi beberapa fakta berkaitan vaksin Covid-19.

dr amalinaSalah satunya, beliau menjelaskan vaksin terbabit tidak akan mengakibatkan individu mendapat Covid-19. Ini disebabkan vaksin berkenaan tidak mengandungi virus hidup yang boleh menyebabkan virus Covid-19.

"Kadangkala, selepas mendapatkan suntikan vaksin kamu akan demam. Ia adalah situasi normal kerana badan sedang mencipta antibodi untuk melawan virus dan membina imuniti.

"Situasi berkenaan memerlukan tempoh beberapa minggu untuk membina ketahanan sepenuhnya," terang Dr Amalina yang telah berkelana selama 15 tahun di negara orang.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan wanita hamil atau sedang menyusukan anak dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin.

"Bagaimanapun, pastikan berbincang bersama doktor tentang risiko dan manfaat vaksin," ujarnya lanjut.

Direkodkan, Dr Amalina merupakan pelajar pertama negara berjaya memperoleh keputusan 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2004.

ainul amalinaADIK Ainul Mardhiah yang semakin sihat dan membesar dengan baik begitu dekat dalam hati Dr Amalina (kanan).

Kredibiliti beliau dalam bidang perubatan amat dikagumi rakyat Malaysia, tambahan pula Dr Amalina mengambil insiatif membantu mengatur pembedahan membuang tumor seberat 200 gram pada bahagian mulut adik, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di Hospital Kanak-Kanak London tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, penyanyi dan pelakon, Sasha Mohd Saidin antara rakyat Malaysia pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinopharm.

 

sasha saidinSASHA bersyukur beliau dan suami tidak mengalami sebarang kesan sampingan seperti demam, mual dan alahan.

Ahli kumpulan Elite itu memaklumkan beliau dan suami, Sirhan Wahab menerima suntikan dos pertama vaksin di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami mengambil keputusan untuk suntikan vaksin jenis Sinopharm kerana keberkesanan sebanyak 86 peratus setelah mendapat berita mengenai kemunculan mutasi baharu Covid-19,” katanya melalui Instagram miliknya baru-baru ini.

Selebriti berusia 44 tahun itu menjelaskan, beliau dan suaminya memilih vaksin jenis itu kerana keberkesanannya, namun suntikan jenis Pfizer lebih tinggi iaitu 96 peratus tetapi masih belum diperoleh di negara itu.

Sumber: @dramalinabakri dan @sashasaidin

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca